MELAKA TENGAH - "Saya serik nak main mercun lagi," kata Muhammad Haziq Hasrizam, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana, Alor Gajah, yang menjadi mangsa pertama kes mercun di Melaka, tahun ini.

Muhammad Haziq melecur di muka dan dua jari tangan kanan akibat terkena percikan api belerang yang dikeluarkan sendiri daripada mercun bola ditemuinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, mangsa dikatakan sedang bermain sendirian di pekarangan rumah sebelum menemui sebutir mercun bola yang belum digunakan.

Menurut Muhammad Haziq, dia bertindak mengeluarkan belerang dari dalam mercun berkenaan lalu membakarnya, namun percikan api menyambar bahagian mukanya dan sebahagian jari tangan kanan.

“Saya keluarkan belerang mercun dan kemudian nyala api, tapi tiba-tiba ia menyambar terkena muka saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, semalam.

Bapa mangsa, Hasrizam Hasan, 36, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu pada mulanya cuba menahan sakit dan menyembunyikan kejadian menimpanya kerana khuatir dimarahi keluarga.

“Bagaimanapun, ibu saudaranya menyedari perkara itu dan terus menghubungi saya yang sedang bekerja.

“Saya dan isteri kemudian segera bawa Muhammad Haziq ke Hospital Alor Gajah dan doktor memindahkan kes ke Hospital Melaka untuk rawatan. Syukur keadaannya tidak serius dan doktor membenarkannya keluar wad hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Adun Durian Tunggal, Mohd Sofi Wahab yang turut melawat Muhammad Haziq mengingatkan ibu bapa agar memerhatikan gerak-geri anak supaya tidak bermain mercun.

“Ini adalah kes pertama untuk musim perayaan di Melaka. Kita harap ini yang terakhir dan tidak akan berulang lagi kes seumpama ini,” katanya.

Mohd Sofi melihat jari Muhammad Haziq yang melecur akibat mercun.

Inilah mercun bola yang menyebabkan muka dan tangan Muhammad Haziq melecur. Mercun ini dikatakan sangat bahaya kerana sumbunya boleh terbakar dari dalam tanpa disedari.
Setiap kali menjelang hari raya, pasti ramai yang menjadi mangsa mercun bola ini.