DURIAN TUNGGAL - Bagi memupuk minat murid terhadap subjek Sains dan Matematik, satu program yang dikenal sebagai Stemazing Camp telah diadakan di Resort Agrofarmstay, baru-baru ini.

Program yang membabitkan penyertaan seramai 100 murid itu terdiri daripada murid tahun 4 dan 5.

Ia dianjurkan secara bersama antara Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE UTeM, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM).

Ketua Projek merangkap Ketua Sub-kluster Mekanikal UTeM, Dr Mohd Afzanizam Mohd Rosli berkata, menerusi program itu, mereka telah memilih projek membangunkan kereta lumba berkuasa angin untuk direka cipta oleh peserta.

Katanya, setiap kumpulan dibekalkan bahan yang mudah didapati seperti penutup botol, straw, lidi, kepingan kertas keras, getah gelang, lidi, belon dan pita pelekat untuk membina sebuah kereta lumba berkuasa angin.

“Pemilihan barang yang mudah didapati ini sengaja dilakukan bagi menggambarkan aktiviti berasaskan Sains adalah mudah, ringkas dan berada dekat di sekeliling kita," katanya.

Selain pertandingan, murid juga diberi peluang membentangkan hasil kerja dan berkongsi pendapat semasa sesi perkongsian ilmu di akhir program.

Sepanjang program berlangsung, setiap kumpulan telah ditempatkan seorang fasilitator yang terdiri dalam kalangan guru dan juga penuntut tahun akhir FKM UTeM.

Sementara itu, Ketua Fasilitator Siti Khuzaimah Mohd Amin berkata, setiap fasilitator yang dilantik ditugaskan untuk memberi penerangan dengan menekankan elemen Sains yang terlibat dalam proses pembikinan kereta tersebut.

 

Antara hasil reka cipta binaan kereta lumba berkuasa angin yang dicipta peserta menggunakan konsep Sains dan Matematik.

 

 Sesi interaksi bersama peserta ketika program dijalankan.