PANITIA Matematik dengan kerjasama Program Pemilihan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka mengadakan Hari Eksplorasi Matematik 2019 bertempat di Bank Negara dan Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.

Penyelaras program, Cikgu Mohd Yusazli Md Yusof  berkata, program itu bagi melatih murid berdisiplin dan menimba ilmu melalui penerokaan secara kendiri.

"Dengan menyertai program ini, murid dapat merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan awam iaitu perkhidmatan rel kerana program tersebut menggunakan sepenuhnya perkhidmatan rel KTM Komuter dan Putra LRT.

"Melalui program ini juga, saya dapat mengajar murid tentang tatasusila menaiki pengangkutan awam dengan mengutamakan keperluan tempat duduk kepada yang memerlukan," katanya.

Di samping itu, beliau mengatakan program tersebut bukan lawatan semata-mata namun bagi membina keseimbangan intelek, jasmani, emosi dan rohani murid.

"Program ini dapat membina daya saing yang sihat dalam kalangan murid untuk memperoleh peningkatan keputusan peperiksaan mereka kerana hanya 40 murid Tahap Dua SK Rumbia yang memperoleh peningkatan dalam peperiksaan akhir tahun 2019 sahaja dibenarkan mengikuti program ini," katanya.

Hari Eksplorasi Matematik 2019 mendapat penyertaan 84 murid dan 10 guru SK Rumbia.

Pada sesi lawatan murid didedahkan dengan ilmu berkaitan alam pekerjaan, kesenian, kewangan, pengangkutan dan perniagaan.

"Antara tempat yang kami kunjungi ialah Galeri Seni,  Galeri Numismatik, Galeri kewangan dan Perbankan Islam, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi dan Galeri kanak-kanak yang mampu mendedahkan murid berkenaan dunia sebenar pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Panitia Matematik SK Rimba,  Munaliza Ibrahim berkata lawatan tersebut diadakan bagi menyahut seruan kerajaan untuk murid menghargai sejarah mata wang negara dan menanamkan sikap cinta akan tanah air.

"Pihak kami mengadakan program ini untuk memberi pendedahan kepada murid Tahap Dua SK Rumbia dalam mengenali dan mempelajari kepentingan ekonomi; perbankan Islam dan perancangan kewangan bersama Bank Negara," katanya.

Jelasnya lagi, lawatan sebegitu mampu mendedahkan pelajar dengan suasana sebenar urusan jual beli terhadap pelbagai instrumen pembayaran yang sedia ada.

Murid beratur menunggu keretapi Transit Aliran Rinngan (LRT) untuk membawa mereka ke Bank Negara.

Guru Besar SK Rumbia, Mohd Isa Barum (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Pegawai Jabatan Perkhidmatan KTM Komuter  Zulkifli Aziz. Turut hadir, Cikgu Mohd Yusazli (kiri) dan Pegawai KTMB, Roziela Zakaria (kanan).

Tip Menarik:

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh