Melaka - Matang dari usianya, seorang pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara, Muar, Johor melakar sejarah tersendiri apabila berani memikul amanah mewalikan dua kakaknya di sini.

Muhammad Amierul Adlie, 14, sentiasa mengingati pesanan yang ditinggalkan oleh arwah bapanya, Basiran Ali agar mengambil alih tugas menjaga keluarganya.

Anak tunggal lelaki dari lima beradik itu lancar menikahkan dua orang kakak kesayangan dalam dua majlis berbeza bulan ini.

Memetik Facebook Mohd Syukri Madnor, majlis pernikahan dua orang kakaknya telah dirancang sebelum bapa Amierul meninggal dunia pada 28 Ogos lalu akibat kanser.

Meskipun menerima berita sedih atas pemergian bapa tersayang, perkahwinan perlu diteruskan dan keluarga itu merujuk dengan Pejabat Agama Islam di Melaka.

"Pejabat agama bertanya sama ada keluarga ini ada adik lelaki atau tidak?

"Kami beritahu ada, berusia 14 tahun. Apabila diberitahu dia sudah cukup syarat utama, jadi kami putuskan Amierul akan menjadi wali pernikahan kakak-kakaknya," katanya juga saudara rapat kepada keluarga Amierul.

 

Muhammad Amierul (tengah) diapit dua kakak dan dua abang iparnya dalam majlis resepsi.

Sebelum itu, keluarga Amierul telah memutuskan hanya berwalikan kepada jurunikah tetapi Amierul yakin dirinya mampu menggalas tugas tersebut.

"Saya amat berbangga dengan Amierul yang menunjukkan sifat matangnya itu.

"Amierul menjadi wali buat kali pertama untuk kakak ketiganya (Nur Aina Nabihah Basiran) pada 22 September lalu.

"Sehari sebelum majlis, dia telah berlatih bagi melancarkan majlis akad. Walaupun pada mulanya agak gugup, dia telah melakukannya dengan baik," katanya juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Semalam, Amierul sekali lagi menjadi wali untuk pernikahan kakak keduanya, Nur Amirah Basiran di masjid yang sama iaitu Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, Melaka.

"Perjalanan majlis berjalan lancar, dia semakin matang dan rata-rata tetamu yang hadir turut memuji sikapnya kerana berjaya melaksanakan amanah dengan sempurna," katanya.

Muhammad Amierul mewalikan kedua kakaknya pada September.

Dalam pada itu, ibu Amierul, Rosiah Othman memberitahu dia melahirkan rasa syukur kerana kedua-dua majlis perkahwinan berjalan lancar.

"Saya berasa sebak, terharu, malah gembira kerana Amierul sedia memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga setelah pemergian bapanya.

"Saya masih dalam tempoh edah dan tidak berada di kedua-dua majlis tetapi saya tahu, Amierul telah melaksanakan amanat bapanya dengan baik," katanya.

Rosiah juga ada bertanyakan kepada Amierul tentang keputusan mewalikan kedua kakaknya dan dia yakin menjawab 'ya betul'.

Selain menjadi wali, pelajar ini turut memandikan dan sembahyangkan jenazah bapanya pada Ogos lalu.