MELAKA TENGAH - Dua remaja maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tanker dan tiga buah motosikal di Jalan Tangga Batu-Bukit Rambai di sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang maut, Muhammad Rosyam Mohd Bani, 16, dari Taman Peruna, Sungai Udang dan seorang lagi remaja seusianya, Muhammad Nazri Ramli dari Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling.

Seorang lagi mangsa, Amir Amirul Muhammad Fauzi, 18, dari Tangga Batu cedera parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 3.43 pagi semalam.

MUHAMMAD NAZRI

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika lori tanker dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Rambai, menghala ke Tangga Batu diekori dua motosikal dari arah sama lalu memotong kenderaan berat tersebut.

"Pemandu lori tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan menyaksikan dua penunggang motosikal terbabit jatuh di hadapannya.

"Pada masa sama datang sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan dan tidak dapat mengelak lalu terus merempuh kedua-dua mangsa," katanya, semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Manakala seorang lagi mangsa yang mengalami patah paha kanan dan tangan kanan kini dirawat di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.