MELAKA - Masyarakat perlu membuka minda dan mengubah persepsi negatif bahawa sekolah pondok mahupun madrasah sebagai tempat pelajar nakal.

Pengasas Pondok Darul Muttaqin, Amir Ali, 41, berkata, pelajar tahfiz juga mempunyai peluang dan masa depan cerah malah boleh melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang bukan sahaja tertumpu bidang agama.

Menurutnya, walaupun setiap pelajar mempunyai kelemahan dan kelebihan, namun mereka yang ditempatkan di pusat tahfiz itu  mahu menjadi tahfiz yang mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran.

"Tanggapan mereka budak nakal tidak tepat, tapi mereka insan yang mahu menegakkan agama dan mahu mendalami agama dengan sebaik-baiknya.

"Kita tidak sekadar mengajar mengenai hafazan sahaja, namun akidah serta akhlak supaya mereka menjadi orang Islam sebenar dan berkeperibadian murni walaupun mereka lepasan sekolah pondok dan madrasah.

"Ini penting diterapkan kerana banyak masalah sosial dan jenayah yang berlaku dan sekali gus menggelakkan mereka terpesong dengan ajaran bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ) Mazhab Syafie termasuk ajaran sesat," katanya.

Jelasnya, sejak dua tahun lalu pengambilan pelajar dibuat tapisan agar pelajar di pondok tersebut bukan disebabkan paksaan keluarga, namun kerelaan mereka sendiri.

Lahir pelajar bukan hanya dalam bidang agama semata-mata

Amir yang lebih mesra dipanggil Mualaim dalam kalangan pelajarnya berkata, beliau mengambil inisiatif mewujudkan pondok yang terletak di tepi jalan dalam Dun Paya Rumput itu bagi melahirkan lebih ramai pelajar bukan hanya dalam bidang agama.

Menurutnya, ini terbukti apabila mereka turut menjalinkan kerjasama dengan kolej komuniti dalam memberi kemahiran kepada pelajar malah lepasan pondok itu juga berpeluang menyambung pengajian diploma sama ada dalam bidang kemahiran atau agama seperti kerjasama dengan Kolej Islam As-Sofa di Ampang, Selangor.

Malah menurut Amir, kewujudan pondok yang didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bagi merealisasikan minatnya yang pernah mendapat pengajian di sekolah pondok seperti madrasah tahfiz Jeram, Selangor, Pondok Pasir Tumboh, Kelantan dan di Kedah di atas tanah pemberian arwah datuknya seluas kira-kira 1.2 hektar secara tidak langsung merebut saham akhirat.

"Dari dulu lagi saya minat dalam bidang agama dan kerana itu saya berhenti sebagai jurutera komputer di Kuala Lumpur dan mengambil keputusan membina pondok ini sedikit demi sedikit.

"Bermula dengan 11 pelajar pada 2013, kini kami mempunyai 70 hingga 80 pelajar dan paling muda berumur 10 tahun," katanya.

 

Pengajian secara percuma

Selain menerima pelajar, pondok berkenaan juga menyediakan pengajian secara percuma yang dinamakan umumi yang diadakan setiap Isnin dan Rabu.

Amir berkata, usaha itu bagi memberi peluang penduduk sekitar mendapat manfaat kewujudan Pertubuhan Kebajikan Darul Muttaqin menerusi kelas percuma bagi golongan wanita selepas solat Asar selain kuliah umum terbuka untuk lelaki dan wanita selepas Maghrib.

Menurutnya,  mereka juga menubuhkan menubuhkan kumpulan qasidah yang dinamakan Qasidah Burdah dan dianggotai pelajar berumur 10 hingga 17 tahun yang membuat persembahan atas jemputan tanpa menetapkan sebarang bayaran.

Menurutnya, beliau tidak sanggup meletakkan harga dan terpulang kepada tuan rumah untuk menyumbangkan wang selain akan meletakkan tabung bagi membolehkan orang ramai menderma di majlis yang mereka pergi sekali gus wang itu dapat menampung kos perbelanjaan Pondok Darul Muttaqin yang mencecah lebih RM20,000 sebulan termasuk bayaran tenaga pengajar dan kakitangan kira-kira RM10,000 selain RM2,500 bagi kos elektrik dan air.

"Kami memberi khidmat qasidah percuma kepada sesiapa dan ini salah satu usaha kami berdakwah tanpa meletakkan sebarang bayaran dalam masa yang sama dapat menghidupkan seni Islamik dengan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

"Namun pihak yang menjemput hanya perlu menanggung kos perjalanan dan pengangkutan dan itu antara yang kami boleh lakukan untuk masyarakat," katanya.

Dalam pada itu institusi yang telah berusia lima tahun itu juga akan membuat pengambilan pelajar baharu bermula Januari depan dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Amir di talian 012 6991013.