BATU BERENDAM - Guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengikuti Bengkel Pangkalan Data Lanjutan anjuran Kelab Pengurusan Pangkalan Data Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.

Bengkel selama dua hari itu bertujuan membantu bukan sahaja kepada pelajar, malahan guru yang ingin meningkatkan kemahiran menerusi bidang pengaturcaraan dan pangkalan data terutamanya menerusi pengkalan data lanjutan seperti WEBDATABASE, PHP dan SQL.

Diadakan di Makmal Komputer, SMK Munshi Abdullah, program menarik itu telah melibatkan enam fasilitator dari kalangan mahasiswa UTeM jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data).

Dekan FTMK UTeM Gs, Dr Othman Mohd berkata, bengkel merupakan sebuah projek tanggungjawab sosial korporat dari FTMK kepada masyarakat setempat dan pelajar.

"Ia bagi membantu dalam penekanan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang diterapkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025," katanya.

Bengkel yang dianjurkan itu dijangka diteruskan untuk beberapa sesi lagi melibatkan kumpulan pelajar dan guru yang masih belum berkesempatan menyertai bengkel berkenaan.

Ia juga bakal dijadikan acara tahunan bertujuan membantu pelajar dan guru sebagai persediaan untuk subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Turut serta dalam membantu dan memantau bengkel tersebut ialah Pensyarah Kanan FTMK, Hidayah Rahmalan yang turut berperanan sebagai penceramah jemputan bagi program tersebut.

 

Sesi perkongsian maklumat sedang berlangsung ketika Bengkel Pangkalan Data Lanjutan.