MELAKA - Politeknik Merlimau (PMM) menganjurkan Program Politeknik Lahir Usahawan Siswa (PLUS) 8.0 selama dua hari baru-baru ini sebagai sebahagian daripada aktiviti pembudayaan keusahawanan melibatkan para pelajar semester satu.

Menurut Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal, PLUS merupakan satu usaha untuk memberikan pendedahan awal dan memupuk minat keusahawanan dalam kalangan pelajar politeknik.

“Menerusi usaha Unit Keusahawanan PMM, banyak platform dan program yang telah dan akan dibuat khusus buat para pelajar PMM agar mereka dapat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sama ada secara konvensional atau dalam talian.

“Antaranya program PLUS, Incubator Bootcamp dan pelbagai lagi yang diwujudkan untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan. Selain itu, PMM juga sedia memberi bimbingan dalam mengembangkan perniagaan pelajar, jaringan serta menganjurkan pertandingan-pertandingan keusahawanan,” ujar beliau.

Salah seorang ahli panel yang hadir berkongsi pengalaman di Program PLUS 8.0

Sementara itu, Ketua Unit Keusahawanan PMM, Rabi’ah Seman berharap peluang itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar semester satu PMM.

“Seperti program PLUS 8.0 ini, ia telah berlangsung secara dalam talian menggunakan platform Microsoft Teams. Tiga orang usahawan daripada bidang yang berbeza telah diundang oleh PMM untuk berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai perniagaan yang diceburi.

“Antara tetamu undangan dalam program ini ialah Ir Ts Erdy Sulino Mohd Muslim Tan yang merupakan pakar teknologi dan pemilik Peneraju Hijau Sdn Bhd serta ladang harumanis di Perlis.

"Beliau memberi dorongan dan bimbingan kepada pelajar jurusan jurutera untuk menceburi bidang keusahawanan,” ujar beliau ketika ditemu bual.

Program PLUS 8.0 secara dalam talian tersebut telah dirasmikan oleh Mohd Hatta dan majlis penutupan pula disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PMM, Mohd Hoirie Abdul Manah.

Sementara itu, Nur Mizani Abdul Rahim yang merupakan pemilik Hajji Bakery selaku panel kedua, berkata perjalanan hidupnya sebagai seorang usahawan dalam industri roti dan kek bukanlah mudah sehingga boleh mencapai tahap yang ada pada hari ini.

“Untuk menceburi sesuatu bidang perniagaan pelajar perlu mempunyai motivasi yang tinggi, minat dalam bidang tersebut, fokus dan berpengetahuan tentang bidang yang ingin diceburi. Pada masa yang sama pelajar juga harus bersedia menerima kritikan dan berani menempuh cabaran,” tambah beliau.

Dr Helmy Adly turut diundang sebagai panel Program PLUS 8.0

Pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Helmy Adly selaku panel ketiga pula berkongsi cara-cara untuk pelajar menggunakan pemasaran digital bagi memula dan mengembangkan sesuatu perniagaan.

Beliau yang juga merupakan pemilik KAGUM Academy berkata, pemasaran digital menjadi antara medium penting untuk dunia perniagaan lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu ini.

“Dengan kewujudan media sosial seperti TikTok, usahawan dapat menggunakannya sebagai satu alat untuk mempromosikan perniagaan mereka dengan lebih mudah.

"Manakala pemilihan platform media yang bersesuaian bergantung kepada sasaran pasaran, produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan serta situasi kewangan usahawan,” ujar beliau.

Artikel menarik

MPKK UniMAP anjur misi Food Bank bantu siswa terjejas kerana Covid-19

Guna tip ini untuk pastikan emosi murid-murid sentiasa gembira dan positif