MASJID TANAH – Seramai 43 orang sukarelawan daripada Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Negeri Sembilan dan Melaka telah menjayakan pemasangan lima lampu bertenaga solar dan satu tangki penapis air bagi kegunaan pengunjung dan kaki pancing di Taman Lokan, Lubuk Cina, Melaka dibawah Program Ekspedisi Linggi 1.0.

Pengarah Program Ekspedisi Linggi 1.0, Normizam Halid berkata, pemasangan lampu dan tangki penapis air itu sekurang-kurangnya dapat melengkapkan kemudahan asas yang sebelum ini menjadi masalah utama di kawasan lokasi memancing dan kawasan perkhemahan tersebut.

"Lampu yang dipasang oleh pelajar dari jurusan Kejuruteraan Elektrik Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan itu terdiri daripada panel dan pengawal solar, bateri serta mentol LED yang mudah ditukar.

"Bagi pembinaan tangki penapis air pula diketuai Politeknik Kota Bharu, Kelantan dengan bantuan tenaga sukarelawan daripada Politeknik Melaka, Port Dickson dan Kolej Komuniti Kuala Pilah," katanya.

Menurutnya, program khidmat masyarakat PolyCC kali ini diadakan bersempena sambutan bulan Akademia 2019 yang bertemakan 'Akademia Bersama Masyarakat'.

Kata beliau, pelajar dan pensyarah politeknik dan kolej komuniti bergabung tenaga serta kepakaran dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat di bawah Kluster Pindahan Teknologi dan Perkongsian Ilmu, Pembangunan Kelestarian Alam dan Pperasi Khidmat Masyarakat.

"Selain pembinaan tangki penapis air dan pemasangan lampu bertenaga solar, terdapat beberapa aktiviti sampingan iaitu operasi pembersihan sungai di sepanjang Sungai Rembau dan penanaman pokok bakau turut diadakan," katanya.

Normizam berkata, bagi memberikan pengalaman baharu kepada pelajar, pertandingan memancing joran nipah dan menyeluk lokan turut diadakan.

Projek Ekspedisi Linggi 1.0 mendapat peruntukan khas daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) selain sumbangan staf dan pelajar.

Timbalan Pengarah (Keusahawanan dan Alumni), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Nor Mazlan Ismail (empat dari kanan) dan pensyarah PolyCC menunjukkan papan
tanda yang dipasang bagi menunjukkan selesainya Projek Pembinaan Tangki Penapis Air dan Pemasangan Lampu Berasaskan Solar sempena Program Ekspedisi Linggi 1.0 di Taman Lokan, Lubuk Cina, Melaka.

Dalam masa sama, Pasukan Promosi Pendidikan PolyCC turut mengadakan lawatan rumah ke rumah untuk mempromosikan pengambilan pelajar ke politeknik dan kolej komuniti bagi ambilan Disember 2019.

Majlis perasmian penutup Program Ekspedisi Linggi 1.0 disempunakan Pengarah Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK Kementerian Pendidikan (KPM), Wan Mohamad Nasir Wan Abdul Rahman.

Turut hadir Pengarah Politeknik Port Dickson, Roslee Yahya, Pengarah Kolej Komuniti Kuala Pilah, Ts Ahmad Afandi Mohd Khalil dan Timbalan Pengarah (Keusahawanan dan Alumni), JPPKK Nor Mazlan Ismail.

Sukarelawan PolyCC bertungkus lumus membancuh simen untuk membina tangga tangki penapis air.

Proses pemasangan lampu solar.