MELAKA - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jasin memandang serius isu kerosakan pintu tandas dan beberapa lagi kemudahan prasarana di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota (SMKSM) seperti mana yang dilaporkan media.

Ketua Pegawainya, Dr Mohd Azam Ahmad berkata,  pihaknya mengalualukan permohonan secara rasmi daripada pengetua untuk dipanjangkan kepada Jabatan Pendidikan negeri dan seterusnya ke peringkat Kementerian Pendidikan.

“Berhubung kerosakan pintu tandas, pintu bilik  darjah, cermin tingkap di sekolah terbabit memang  PPD Jasin akui ia mesti dibaiki.

“Bagaimanapun,  penyelenggaraan hanya dapat dibuat oleh PPD Jasin bergantung  kepada peruntukan yang diberi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan Sinar Harian Online semalam yang bertajuk Pelajar terpaksa ‘tunai hajat’ di tandas tiada pintu.

Laporan tersebut merujuk isu yang dibangkit  Pengerusi Alumni sekolah itu selepas terkejut dengan keadaan sekolah terbabit yang terlalu uzur.

Keadaan itu mendorong mereka melancarkan  tabung kutipan dana bagi membantu sekolah yang berusia hampir separuh  abad.

Sementara itu, Dr Mohd Azam berkata, sepanjang  tahun 2015 hingga  2018 sekolah terbabit telah menerima peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM497,744.18.

Sebelum ini, Malam Perdana Alumni SMKSM 2019 telah dianjurkan bagi mengumpul dana membantu  sekolah berkenaan membaiki kemudahan prasarana seperti bilik darjah, dewan sekolah dan tandas yang mempunyai kerosakan paling serius.

Difahamkan, pelajar terpaksa membuang air  dalam keadaan tandas yang tidak berpintu sejak beberapa tahun lalu.

Pada peringkat awal, sejumlah hampir RM15,000 berjaya dikumpulkan termasuk kutipan kilat berjumlah kira-kira RM3,800 yang dapat dikutip pada majlis berkenaan.

 

ARTIKEL MENARIK:

MPN agih 40 kek ke seluruh sekolah di Gua Musang sempena sambutan hari guru (4 foto)

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu...

'Cikgu tak tahu, kami nak hargai jasa guru' - Tindakan ibu bapa ini buat guru terkejut (11 foto)