MERLIMAU – Lebih 40 orang pelajar iaitu barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Merlimau (PMM) bagi sesi 2020/2021 menyertai program kepimpinan yang lebih dikenali sebagai Program Kepimpinan Mahasiswa Dinamis (PROMIS) 7.0 bertempat di Alor gajah, Melaka, baru-baru ini.

Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal berkata, barisan MPP yang mengikuti program itu adalah dalam kalangan mereka yang baru sahaja memenangi Piliharan Raya Kampus yang telah diadakan pada awal April lalu secara dalam talian.

“Program anjuran Unit Pengurusan Psikologi dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar ini merupakan acara tahunan sebagai satu medan mendidik dan melatih pelajar dalam aspek kepimpinan, personaliti dan komunikasi,” ujar beliau kepada pemberita.

Sementara itu, Pegawai Psikologi merangkap Pengarah PROMIS 7.0, Mohamad Hasbullah Mustafa, berkata antara objektif program ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin pelajar di kampus.

"Selain itu, program berkenaan juga bertujuan melatih kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi serta membentuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan barisan pimpinan baharu MPP PMM.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang disusun oleh urus setia bagi mencapai objektif yang digariskan antaranya aktiviti Slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK), ceramah kepimpinan, jungle tracking, water confident dan sesi perbincangan.

"Semua aktiviti ini disusun bagi melahirkan pemimpin yang mempunyai daya tahan menghadapi tekanan, sentiasa proaktif dan sistematik dalam tindak tanduk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita usai program berakhir di Kem Permata Resort, Alor Gajah.

Sebahagian daripada aktiviti yang diadakan dalam program PROMIS 7.0.

Majis penutup program berkenaan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PMM, Ts Zan Aizuwan Zainal Abidin yang turut sama memantau impak program berkenaan.

Mohamad Hasbullah turut menitipkan pesanan dan ingatan kepada barisan MPP PMM yang baru dilantik agar bijak membahagikan masa antara akademik dan tanggungjawab sebagai pemimpin yang akan menjadi contoh kepada pelajar yang lain.

“Mereka juga diingatkan tentang peranan yang sangat penting sebagai jambatan penghubung antara pihak pengurusan dengan pelajar dalam menyalurkan maklumat dan isu-isu berkaitan terutama dalam cabaran norma baharu ini iaitu menjadi wakil pelajar yang membantu mendepani Covid-19 di dalam kampus,” katanya.

Artikel menarik

‘Kasih sayang guru hingga hujung nyawa’ - Cikgu Mohd Rodzi

79 sekolah di Selangor diarah tutup 2 hari, ini senarai dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri