MELAKA TENGAH - “Saya sentiasa doa Nur Fatiha kembali pulih, dia dapat uruskan diri dia sendiri itu dah bersyukur bagi saya,” kata seorang wanita yang tabah menjaga anaknya yang kemalangan, Haslinda Hamzah, 42, dari Taman Paya Rumput Permai, Melaka.

Ibu kepada empat orang anak itu terpaksa berhenti bekerja sebagai pembantu kantin selepas anak sulungnya Nur Fatiha Aizan, 18, dilanggar lari pada Ogos tahun lalu dan kini terlantar sakit selain tempurung kepala terpaksa dikeluarkan akibat, mengalami pendarahan yang teruk.

Haslinda berkata, sejak dari itu dia memberi sepenuh perhatian menjaga Nur Fatiha yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Talib Karim memandangkan anaknya tidak mampu menguruskan diri selain hanya diberi minum menggunakan tiub.

Menurutnya, walaupun terkilan anak yang sebelum ini sentiasa ceria, sepatutnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu tidak kesampaian, namun dia sekeluarga reda dengan ujian daripada-Nya dan sudah pasti impian seorang ibu mahu anak yang dijaga dari sejak lahir sembuh seperti sedia kala.

“Setiap hari saya bercakap dengan dia, seperti biasa, walaupun dia tidak memberi tindak balas, dan doktor juga kata proses untuk dia sembuh memakan masa agak lama namun saya setia menunggu dan bersabar.

“Dulu dia terbaring dengan mata yang tertutup, namun syukur sejak dua bulan lalu telah nampak perubahan positif apabila Nur Fatiha mula membuka mata dan menggerakkan tangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung dengan menjual pakaian bundle dan telekung kini setiap hari resah mengenangkan anaknya memerlukan wang bagi membeli skru bagi pembedahan tempurung kepala yang dijangka dilakukan Februari depan di Hospital Kuala Lumpur (HLK).

Menurutnya, walaupun baharu beberapa bulan menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun masih tidak mencukupi lebih-lebih lagi Nur Fatiha memerlukan perbelanjaan lebih kurang RM1,000 sebulan termasuk kos lampin pakai buang dan susu yang diberikan menggunakan tiub setiap tiga jam sekali selain bayaran sewa rumah RM650 sebulan.

Katanya, dengan keadaan yang perlu berulang alik ke hospital termasuk Hospital Melaka juga sukar untuk dia meneruskan jualan baju bundle dan telekung ditambah tiga orang anaknya berumur 5 hingga 16 tahun masih bersekolah.

“Sebelum ini kami terpaksa menyewa ambulans ke HKL dengan bayaran RM1,300 dan sekarang kami memikirkan bagaimana nak kumpulkan wang untuk bayar sewa ambulans lagi.

“Sebelum ini ada sedikit wang simpanan dan wang yang orang beri ketika melawat Nur Fatiha, namun kami telah gunakan untuk beli katil mudah alih bagi keselesaan dia,” katanya.

Haslinda berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan sedikit beban bagi pembedahan anak sulungnya itu tidak lama lagi dan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam  04024020812217 (Haslinda).