ALOR GAJAH - Usaha Sinar Harian memaparkan kisah tiga daripada lima beradik yang tidak bersekolah di sebuah kampung di Masjid Tanah kerana tiada surat beranak telah membongkar kisah tujuh sepupu mereka yang turut mengalami nasib sama.

Mereka yang berusia antara 9 hingga 18 tahun itu dipercayai tidak mempunyai surat beranak kerana kegagalan ibu bapa mereka mendaftarkan kelahiran masing-masing akibat masalah tidak sah taraf.

Masalah mereka dikesan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika mendapatkan maklumat berhubung kes tiga beradik yang tidak bersekolah sebelum itu.

Kesemua mereka dipercayai tinggal berasingan yang mana lima daripadanya menumpang di rumah sepupu mereka yang juga tidak mempunyai surat beranak manakala dua lagi tinggal di rumah lain dan dijaga oleh tiga ibu yang berbeza.

Mas Ermieyati (berdiri dari kiri) hadir ke pejabat JPN bersama 12 ahli keluarga yang tidak mempunyai surat beranak.

Kini, kesemua mereka sudah memiliki surat beranak masing-masing.

Salah seorang kanak-kanak tersebut yang kini berusia 15 tahun berkata, dia bersyukur kerana akhirnya memiliki dokumen amat berharga itu.

Katanya, ketiadaan dokumen berkenaan menyukarkan dirinya untuk melakukan pelbagai urusan seharian.

“Nak bawa ibu ke hospital pun susah sebab tak ada surat beranak,” katanya pada majlis penyerahan surat beranak oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di pejabat JPN Cawangan Masjid Tanah semalam.

Hadir sama, Pengarah JPN Norazlee Sulaiman.

Menurutnya, memiliki dokumen berkenaan merupakan petanda positif kepada dua adiknya yang masing-masing berusia 9 dan 13 tahun akan bersekolah.

“Saya tahu membaca sebab ibu ada belikan kami buku-buku mengenal abjad.

“Impian saya nak sekolah sebab banyak lagi yang boleh saya belajar dan adik-adik sebelum ini memang teruja mahu ke sekolah,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga beradik di sebuah kampung di Masjid Tanah menyatakan hasrat mahu ke sekolah tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Mas Ermieyati (dua dari kanan) dan Norazlee (kiri) ketika menyerahkan surat beranak kepada 12 ahli keluarga yang tidak pernah didaftarkan kelahiran mereka di JPN semalam.

Tanggung kos pendaftaran dokumen

SEMENTARA itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah keluarga itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama bagi menyelesaikan masalah berkenaan, terutamanya JAIM dan JPN.

“Penyerahan surat beranak adalah sebagai titik permulaan dan sinar baharu kepada keluarga besar itu supaya kanak-kanak itu dihantar bersekolah agar tidak keciciran.

“Bagi yang tidak bersekolah pula kami akan berusaha sedaya upaya membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga berbesar hati menanggung keseluruhan kos pendaftaran dokumen berkaitan berjumlah lebih RM600 kerana sedia maklum dengan keadaan ekonomi keluarga berkenaan yang serba kekurangan.

“Kita telah mengetahui kes ini sekian lama dan telah dipanjangkan ke pihak berkenaan mungkin disebabkan beberapa prosedur menyebabkan proses dokumentasi itu mengambil sedikit masa.

“Saya harap mereka akan didaftarkan sekolah dan kita di peringkat Parlimen akan berusaha membantu apa yang diperlukan termasuk bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)\ supaya mereka tidak pernah dipinggirkan terutamanya daripada senarai bantuan perayaan,” katanya.

Tambahnya, kisah keluarga itu yang anaknya tidak memiliki dokumen pengenalan diri seharusnya dijadikan iktibar dan apa jua yang berlaku termasuk status anak bukan penghalang untuk ibu bapa mendaftarkan anak mereka di JPN.
 

 

Artikel berkaitan:

'Ke tadika pun tak pernah, saya sedih bila adik tanya bila boleh ke sekolah.' - Kisah pilu 3 beradik

 

Artikel lain:

Mayat seorang daripada dua pelajar dikhuatiri lemas ditemui

'Cikgu, ice box saya ada khinzir.' - Kerana terpaksa ini yang mereka buat selepas itu...

Rahsia nota kecil ditulis pelajar 19 tahun.. cikgu ini kongsi isi nota yang buat hatinya tersentuh

32 pasukan berentap rebut Piala Dato' Mokhtar Dahari

MCKK tekad lakar kejayaan hatrik bertemu Semashur di Tanjung Malim, esok