Demi meneruskan misi mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera sekolah di puncak tertinggi Semenanjung Malaysia peserta yang terdiri daripada guru dan pelajar dari tujuh sekolah di Melaka serta pendaki berpengalaman dari Siput Turbo Hikers mengadakan latihan siri keempat di Gunung Datuk, Rembau, Negeri Sembilan.

Program yang dianjurkan Kelab Kembara Turbo Kasturian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka itu bakal meneruskan misi ke Gunung Tahan pada 23 Februari ini. 

Guru Penyelaras Turbo Kasturian, Muhammad Zainuddin berkata, program itu disertai dari sekolah berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Laksamana, SMK Sultan Alauddin dan SMK Agama Darul Falah, Melaka

"Turut serta dalam misi ini ialah pasukan pendaki dari SMK Rahmat, SMK Ghaffar Baba dan SMK Sg Udang," katanya.

Murid Tahun Dua, SK Sri Laksamana Eiman Nufail Muhammad dan  Eiman Naufal Muhammad (Tahun Enam) meraikan kejayaan setelah berjaya menawan puncak Gunung Datuk.

Beliau berkata, misi menawan puncak GUnung Tahan dengan ketinggian 7,175 kaki dari aras laut itu memerlukan peserta mempersiapkan diri dengan stamina yang mantap.

Jumlah keseluruhan peserta yang terbabit dalam misi tersebut ialah 40 orang yang terdiri daripada 20 pelajar, 10 guru, dua wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lapan orang pendaki berpengalaman dari Siput Turbo Hikers.

Menurut Cikgu Muhammad, buat masa ini Turbo Kasturian SMK Hang Kasturi masih memerlukan dana sebanyak RM15,000 untuk menampung kos pendakian.

Pelajar SMKA Darul Falah di puncak Gunung Datuk.

"Aktiviti seperti ini dapat memberi pendedahan kepada peserta khususnya pelajar mengenai aspek jati diri dan cintakan negara banyak nilai murid yang boleh diterapkan ketika operasi pendakian.

"Selain misi mengibar Jalur Gemilang dan bendera sekolah di puncak gunung, usaha mendaki puncak tertinggi ini membolehkan pelajar mengenal erti usaha untuk mencapai kejayaan," katanya.

Noridah

Pengetua SMK Hang Kasturi, Noridah Ab Rahim, berkata, aktiviti pendakian itu dapat meningkatkan semangat jati diri peserta yang terlibat terutamanya pelajar.

Mas Ermieyati

Sementara itu, penaung Kelab Kembara Turbo Kasturian SMK Hang Kasturi, Ahli Parlimen Masjid Tanah Melaka, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, aktiviti rekreasi seumpama itu membentuk kekentalan jati diri yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

"Melalui aktiviti ini juga, daya berfikir di luar kotak juga dapat diasah. Moga usaha kelab ini dapat dicontohi oleh sekolah lain juga," katanya.

Reaksi

"Siri latihan ini membuatkan saya lebih yakin dan bersedia untuk menawan Gunung Tahan puncak tertinggi Semenanjung Malaysia. Sebagai peserta termuda saya perlu banyak belajar lagi terutama tentang aspek keselamatan diri semasa melakukan aktiviti pendakian. Saya menjadikan aktiviti ini sebagai cara meningkatkan jati diri saya." - Eiman Naufal, Murid Tahun Enam, SK Sri Laksamana

"Saya seronok.. masa 'training' kita dapat tingkatkan tahap kesihatan. Sebelum ini saya tidak pernah tengok pemandangan dari puncak gunung, tak sangka memang cantik. Saya tak sabar untuk tawan puncak Gunung Tahan. Terima kasih kerana pilih saya sertai aktiviti ini." - Muhd Zikri Mohd Zahari, SMK Sultan Alauddin

Pelajar SMK Sultan Alauddin bersama bendera sekolah di puncak Gunung Datuk.

Muhammad Zainuddin (kiri) bersama guru dan pelajar SMK Hang Kasturi bersarapan di puncak Gunung Datuk sambil menanti matahari terbit.

Menikmati panorama indah dari puncak Gunung Datuk.

Artikel lain:

Daki gunung untuk hantar laporan, tindakan sekumpulan guru ini wajar dipuji

Tergelincir, menangis ketakutan - Ini yang dilalui 56 bakal guru ketika mendaki Gunung Kenderong

Seronok rupanya kaedah 'Flipped Classroom' - Untung budak sekarang

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020