MELAKA - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Paya Rumput telah dinobatkan Johan dalam Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat sekolah rendah bawah 12 tahun yang diadakan di Stadium Hoki Tun Fatimah, Bukit Serendit di sini selama tiga hari berakhir kelmarin.

Jurulatih yang juga bekas pemain hoki Negeri Sembilan dan Sukan Malaysia (Sukma) suatu ketika dulu, Viknesh a/l Ramachandran berkata sasaran mereka hanya ke suku akhir pada peringkat kebangsaan nanti.

"Ini kerana kami amat kesuntukan masa latihan. Namun, jika berjaya mencapai lebih daripada itu, kami akan lebih gembira.

"Selain itu, berharap juga agar pemain kita boleh merebut tempat pada anugerah yang ada seperti Anugerah Pemain Terbaik dan sebagainya," katanya.

Viknesh juga berkata, tugas melatih murid yang diberikan akan dijalankan dengan penuh amanah.

Guru Besar, A Machap a/p Andiappan pula berterima kasih kepada jurulatih kerana kejayaan ini adalah hasil usaha dan kesabarannya yang tinggi dalam bertungkus-lumus membuat latihan kepada pasukan tiga kali seminggu, termasuk Sabtu dan Ahad.

"Selain itu, ibu bapa juga banyak menyumbang kepada kejayaan ini kerana sentiasa memberi sokongan  padu dan memberi kebenaran anak mereka menjalani latihan.

"Jurulatih kami juga sangat berpengalaman, dan mereka boleh menabur bakti dengan memberi tunjuk ajar kepada generasi kini," katanya.