JASIN - Bagi membudayakan amalan membaca agar menjadi rutin murid, Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas melancarkan Program Nilam dan VLE FROG dengan membabitkan penyertaan 388 murid dan 50 guru serta kakitangan sekolah berkenaan.

Guru Perpustakaan dan Media SK Nyalas, Julina Adenan berkata, Program Nilam itu memberi pengiktirafan kepada murid berdasarkan jumlah buku yang dibaca.

“Buku yang telah dibaca perlu direkod dalam Buku Nilam dan disahkan oleh guru atau ibu bapa.

“Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Bagi tahun ini, pembaca buku terbanyak akan dipilih dari Tahap 1 dan Tahap 2 serta dianugerahkan basikal selain dan dinobat sebagai Tokoh Nilam Tahap 1 dan Tokoh Nilam Tahap 2,” katanya.

Bagi VLE FROG pula, Julina berkata ia adalah program yang berfungsi sebagai komuniti pembelajaran bagi seluruh warga sekolah.

“VLE FROG juga untuk memupuk sikap celik IT dalam kalangan murid dan mereka dapat mempelbagaikan kaedah pembelajaran dengan menggunakan internet,” ujarnya.

Program anjuran Pusat Sumber SK Nyalas itu dirasmikan Jurulatih Nilam Kebangsaan, Norafizah Abdul Razak.

Guru Besar Imran Lamin berkata, kerjasama dan kesungguhan warga sekolah sangat perlu untuk menjayakan program tersebut.

“Pusat Sumber Sekolah juga akan memperkenalkan satu kaedah pembelajaran dan pencarian maklumat pada tahun ini iaitu Pembelajaran Berasaskan Kajian dan Penyelidikan (RBL).

"Semoga ia akan memberi pengalaman baharu kepada murid dan guru,” ujarnya.

Katanya, RBL satu pendekatan terbaik dalam mengupayakan murid memahami isi kandungan pelajaran.

"Melalui pembacaan yang meluas murid-murid berupaya menjadi penyelidik melalui RBL," katanya.

Norafizah (tiga kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Program Nilam dan VLE FROG SK Nyalas.

Imran (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Norafizah.