JASIN - Seekor ular jenis copperhead racer ditemukan di dalam sebuah kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota (SMKSM), Umbai semalam.

Kehadiran reptilia yang turut dikenali sebagai ular rusuk kerbau itu disedari oleh seorang guru wanita berusia 40-an yang melihatnya melingkar dan bersembunyi
di dalam laci meja pelajar Tingkatan 4 di bangunan blok C sekolah berkenaan.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),  Lans Koperal (PA) Osman Ahmad berkata, ular sepanjang 1.5 meter itu ditangkap selepas pihaknya
tiba di lokasi kejadian sekitar jam 12 tengah hari.

“Kami diberitahu pengadu tentang warna ular dan corak di  badannya. Kami percaya ular terbabit bukan jenis berbisa.

“Selepas diberitahu lokasi ular itu bersembunyi, seorang anggota telah menyelongkar laci meja yang dimaksudkan dan menangkapnya dengan menggunakan tangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selepas meneliti pihaknya mengesahkan reptilia  berkenaan turut dikenali dengan  nama ular rusuk kerbau.

“Ular ini tidak berbisa tetapi  boleh mendatangkan kecederaan apabila menggigit. 

“Jika mangsa menarik ular ini dari anggota badan yang digigit ia boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Menurutnya, ular yang memiliki fizikal seakan tedung selar  itu mempunyai pergerakan yang  pantas dan mampu melonjakkan dirinya.

Sementara itu, tinjauan Sinar  Harian di lokasi kejadian mendapati keadaan kelas yang uzur tanpa  tingkap memungkinkan reptilia terbabit melingkar masuk dengan mudah untuk mencari tempat berlindung.

Mujur, ular tersebut ditemukan pada hari cuti sekolah.