Kewujudan universiti teknikal awam berprestij Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memberikan impak langsung kepada segenap golongan komuniti dalam negara.

Terbaharu UTeM telah menyampaikan sumbangan sebanyak 100 unit produk inovasi Origami Corner Chair (OCC) yang dibangunkan sendiri oleh kumpulan penyelidiknya kepada golongan yang memerlukan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, produk inovasi OCC ini dibangunkan menerusi dana Malaysia Social Innovation (MySI) dari Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) pada waktu itu.

Katanya, kumpulan penyelidik UTeM dan melalui Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat telah berjaya memperoleh dana MySI pada tahun 2019 berjumlah RM61,204.00 lalu projek ini dijalankan dengan tajuk ‘Bantuan OCC kepada Kanak-kanak Cerebral Palsy’.

Jelasnya, OCC merupakan inovasi terbaharu dalam kategori alatan rehabilitasi kanak-kanak Cerebral Palsy (CP) yang mempunyai banyak penambahbaikan berbanding corner chair yang sedia ada di pasaran.

Katanya, OCC memberi manfaat kepada dua pihak iaitu pesakit CP kanak-kanak dan penjaga/juruterapi yang menguruskan pesakit oleh kerana rekabentuknya yang unik.

“OCC ini mempunyai kelebihan yang jauh lebih baik kerana ianya memenuhi spesifikasi tambahan yang lebih mesra pengguna dan kos pembuatannya juga telah ditambahbaik,” ujarnya lagi dalam kenyataan baru-baru ini.

Pihak UTeM telah menyumbangkan sebanyak 100 unit OCC kepada golongan memerlukan menerusi sumbangan langsung kepada individu tersebut dan juga menerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara, baru-baru ini.

Pesakit telah disaring dari segi keperluan kepada produk dan keutamaan diberikan kepada golongan B40 dan penerima bagi kategori pesakit individu adalah seramai 81 orang dari seluruh negara.

Sebanyak 19 unit lagi disumbangkan pula kepada PPDK di Melaka dan juga NGO berkaitan CP iaitu Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum Malaysia (GAPS).

Projek pembangunan produk inovasi OCC ini diketuai oleh ketua penyelidik Mohd Azlan Mohamed dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) bersama ahli kumpulannya Mohd Kamal Musadan MohdQadafie Ibrahim.

Produk ini telah dibangunkan oleh beliau sejak 2017 setelah penyelidik membuat lawatan ke rumah salah seorang pesakit CP di Melaka bersama kumpulan Charity beliau.

Di peringkat kajian awal sebelum ini, ketua penyelidik turut berhubung rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka, PPDK dan GAPS dalam mengumpul maklumat pesakit-pesakit CP terutamanya di Melaka.  

Patent rekabentuk produk ini telah difailkan pada 2019 dan produk ini  telah berjaya memperoleh beberapa anugerah rekabentuk antaranya di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2019, International Conference And Exposition On Invention (PECIPTA) 2019 danInternational Festival Of Innovation On Green Technology (I-FINOG) 2019.

Artikel menarik

Kelas terbuka berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, tenang dan mendamaikan

KPM cadang guna teknologi PPVC untuk projek pembinaan sekolah tambahan