BACHOK - Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) tidak dipinggirkan malah diberikan perhatian khusus bagi membantu kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, Rohana Mamat berkata, beliau berbesar hati apabila pihak luar turut membantu pelajar PPKI.

Baru-baru ini katanya, syarikat DLY Beauty ke sekolah berkenaan untuk menyampaikan zakat kepada 35 pelajar PPKI.

“Zakat itu bukan sahaja meringankan bebanan malah dalam masa sama menyuntik semangat pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik.

“Pelajar terbabit memerlukan sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Majlis penyampaian zakat tersebut turut dihadiri Pengasas DLY Beauty, Datin Lily Yusmanti Yusof; Penolong Kanan PPKI, Nasrul Ali dan Pengarah Program, Nor Azira Haron.

Rohana berkata, jasa 11 guru pendidikan khas yang tabah mendidik 64 pelajar di sekolah berkenaan juga tidak dilupakan.

“Komitmen mereka ini amat dituntut dalam usaha memastikan pelajar PPKI turut meraih kecemerlangan akademik,” katanya.