PADANG BESAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyampaikan bantuan zakat kepada 5,642 pelajar asnaf sekolah rendah dan 5,132 pelajar asnaf sekolah menengah seluruh Perlis, sebagai persediaan sesi persekolahan 2019, awal tahun ini.

Maips juga telah menyampaikan bantuan RM3,451,200 kepada 2,754 orang pelajar yang menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi tahun ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, bantuan ini melayakkan mereka untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang keluarga dan sebagainya.

"MAIPs melihat bahawa hanya melalui ilmu dan pendidikan sahaja, akan dapat mengangkat martabat dan menjulang seseorang untuk berjaya dalam kehidupan," titah baginda selepas merasmikan majlis penyampaian anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) 2018 Pusat Celik Minda anjuran Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan MAIPs  di Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup di sini, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin turut menegaskan pendidikan adalah proses kehidupan dalam mengembangkan diri setiap individu, dan tidak mahu masalah kesempitan hidup menjadi penghalang bagi golongan asnaf mendapatkan pendidikan sewajarnya.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Urusan MIDF Datuk Charon Wardini Mokhzani dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, MIDF menyumbangkan RM135,900 kepada MAIPs selaku rakan kerja strategik dalam usaha membantu pelajar golongan asnaf yang memerlukan di negeri ini. - Bernama