GEORGETOWN - Modul baharu Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) bagi sekolah rendah pada kali ini memberi fokus kepada aspek keselamatan jalan raya dengan cara lebih interaktif, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Mohd Nasri Ishak hari ini.

Beliau berkata modul baharu PKJR ini menampilkan kelainan dan penambahbaikan dari segi kandungan pembelajaran dan cara penyampaian.

"Kita menambah baik dari segi kandungan dengan memastikan ianya mematuhi dan selari dengan Kurikulum Standard sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard sekolah Menengah (KSSM).

"Modul PKJR Semakan sekolah Rendah berjaya dibangunkan hasil kolaborasi pintar bersama MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Jika sebelum ini pembelajarannya hanya modul konsep jalan raya, pada kali ini kita menambah elemen interaktif dengan konsep pengajaran secara interaktif seperti menggunakan bahan-bahan penggunaan internet, " katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran modul baharu PKJR bagi sekolah rendah peringkat negeri Pulau Pinang.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Beliau berkata menerusi modul pengenalan baharu terbabit, 15,000 guru telah dilatih mengenai modul baharu PKJR ini pada tahun lepas.

Mohd Nasri berkata modul PKJR ini sangat membantu murid dari aspek keselamatan jalan raya sekali gus membantu mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan generasi muda yang menjadi antara penyumbang terbesar kepada kemalangan.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Nasri berkata  setiap hari hampir 3,700  orang mati akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia  dan hampir 1.35 juta orang mati dalam tempoh setahun.

"Di Malaysia pula sebanyak  6,284 mangsa terkorban akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2018 dan di Pulau Pinang khususnya mencatatkan sebanyak 390 kes kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun sama.

"Angka ini mungkin meningkat saban tahun dan ia sangat membimbangkan jika tiada tindakan diambil untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keselamatan jalan raya," katanya.

Justeru katanya, PKJR yang dimulakan di sekolah rendah sejak 2007 itu  merupakan satu inisiatif jangka masa panjang yang bermula dari peringkat kanak-kanak bagi melahirkan generasi baharu pengguna jalan raya yang mengamalkan budaya selamat, beradab, berhemah dan berhati-hati di jalan raya.

Beliau berkata JKJR  akan memperkenalkan modul PJKR bagi peringkat taska, tadika dan  sekolah menengah bermula pada tahun hadapan.- Bernama

Artikel lain:

Empat sebab Dr Maszlee menangis - Bimbang ada pegawai tak sehaluan dengan aspirasi yang ditonjolkan

'Kepada rakan saya di KPM, jangan gagalkan anak-anak kita' - Maszlee

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga