KUANTAN - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, memohon semua sekolah di negeri ini untuk mengutamakan kesihatan murid dalam situasi jerebu yang dialami negara sekarang.

Beliau yakin pentadbiran sekolah akan peka dengan keperluan murid yang digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) jerebu seperti membekalkan penutup hidung termasuk kepada guru dan larangan aktiviti luar kelas.

"Saya juga berharap sekolah di kawasan terlibat untuk sentiasa berhubung dengan pihak terlibat bagi mengetahui perkembangan terkini yang mana jika kritikal, sekolah boleh mengambil langkah untuk menutup sekolah.

"Saya berharap SOP ini boleh dipatuhi setiap sekolah khususnya di daerah yang terjejas teruk akibat jerebu supaya murid tidak terkesan teruk dengan keadaan yang kurang menyenangkan ini," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Wan Rosdy juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga murid untuk akur dengan arahan yang diberikan pihak sekolah, selain mengambil tindakan sewajarnya seperti mengurangkan aktiviti di luar rumah selepas waktu persekolahan.

Berdasarkan bacaan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 10 pagi ini, Jerantut mencatatkan bacaan sebanyak 116 yang dikategorikan sebagai tidak sihat.

Tiga lagi daerah mencatatkan bacaan sederhana iaitu Rompin (85), Temerloh (99) dengan dua stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuantan iaitu Indera Mahkota dan Balok Baru masing-masing mencatatkan bacaan 77 dan 76. - Bernama

Artikel menarik:

'Canteknya' - Enam pelajar ini terkejut dapat pujian daripada Raja Permaisuri Agong

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Murid Tahun Lima SK Hamzah hidap sakit buah pinggang kronik rayu sumbangan

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan