KUALA TERENGGANU - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah akan beroperasi  sehingga 31 Disember depan sebelum ditutup dan diganti dengan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang akan beroperasi pada 1 Januari 2020.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, penutupan  sekolah aliran berpendidikan menengah
yang dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu untuk tidak membebankan mana-mana pihak.

Menurutnya, keputusan  itu juga diambil selepas perbincangan khas telah diadakan berhubung status operasi MRSM Imtiaz YT Ketengah yang turut dihadiri wakil Mara iaitu Timbalan Pengarah Pendidikan Mara, Datuk Mohamed Roseli Dol.

“Hasil perbincangan itu, satu kertas laporan telah dibawa ke  Mesyuarat Lembaga Pemegang- Pemegang Amanah YT di mana telah mengambil ketetapan agar operasi MRSM Imtiaz YT Ketengah ditutup supaya tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Satiful  Bahri menolak dakwaan bahawa penutupan  MRSM Imtiaz YT Ketengah itu merupakan arahan kerajaan negeri sebagaimana
tular di media sosial.

“Isu itu tidak timbul kerana ia adalah keputusan bersama Mara. Tidak timbul isu pemberhentian pelajar kerana  pelajar sedia ada akan diserapkan ke MRSM sedia  ada.

“Mara juga telah luluskan pembinaan MRSM baharu di  Dungun yang kini dalam proses pembinaan,” katanya. 

Katanya, berdasarkan kerjasama  antara kerajaan Terengganu dan Mara sebelum ini, pihak Mara menghadapi kekangan kewangan untuk memastikan kemudahan yang disediakan di MRSM Imtiaz YT Ketengah setaraf dengan MRSM yang lain.

“Berdasarkan perjanjian asal, kerajaan negeri ketika itu hanya  bertanggungjawab menyediakan tapak dan fizikal bangunan serta menyelenggarakan dan membaiki kerosakan struktur utama bangunan sahaja.

“Mara pula bertanggungjawab ke atas kos operasi termasuk  pengambilan guru-guru dan kakitangan pentadbiran serta mengurus pengambilan pelajar dengan peruntukan 60 peratus dalam kalangan anak Terengganu.

“Bagaimanapun sejak beroperasi  pada 1 Januari 2016, hanya tujuh peratus atau 14 orang sahaja  anak Terengganu yang belajar di MRSM itu sedangkan dalam perjanjian memperuntukkan kuota anak Terengganu sebanyak 60 peratus,” katanya.

Artikel Menarik:

Guru ini cipta ABM untuk subjek Matematik, bantu murid mudah faham dalam kelas

‘Sedapnya cikgu, tak pernah saya makan ni di kampung,’ - Cikgu sebak, anak murid teruja makan McD

Hebat betul Cikgu ni, hasil mekapnya bagaikan juru mekap kesan khas profesional

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik