Sangat terinspirasi! Muda-muda dah dilantik jadi Guru Besar. Zaman sekarang, siapa yang berusaha dan bekerja keras, maka rezeki akan terarah padanya. Tidak perlu pakai kipas hikmat, guna pendingin hawa yang paling hebat. Jika seorang pendidik menjalankan tanggungjawab sepenuh hati, sentiasa berfikir ke hadapan serta rajin berusaha mencari ilmu-ilmu dan pendekatan baru, barulah seorang pendidik itu tampak luar biasa dan layak untuk dinaikkan ke gred seterusnya.

Guru Besar ini, Firdauz Abdullah, berkongsi kisah kejayaannya yang mungkin boleh menjadi inspirasi untuk guru-guru dan masyarakat di luar sana. Buka mata, buka minda. Anda juga boleh berada pada kedudukan seperti guru ini jika anda rajin berusaha. Sesungguhnya kejayaan tidak akan datang bergolek. Paling penting, jadilah yang luar biasa, terampilkan kesungguhan dalam apa jua yang anda lakukan.

Orak langkah dan lakar kejayaan. Ini azam permulaan 2018. Ayuh guru-guru se-Malaysia!

---

Esok, tahun 2018 bakal bermulanya episod baru dalam sejarah perkhidmatan aku yang kini masuk tahun ke-13.

Oleh yang demikian, aku saja nak kongsikanlah serba sedikit laluan kerjaya yang pada aku bolehlah dijadikan rujukan jika perlu. Mana tahu kot-kot boleh jadi inspirasi hehehe...

 

Ia bermula pada tahun 2001, sebaik sahaja keputusan SPM keluar dan berbekalkan semangat untuk berdikari sendiri, maka buat pertama kalinya aku menebalkan muka ditemani kakak kedua aku untuk pergi ke Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan. Diiringi harapan semoga adalah jawatan kosong sebagai Guru Ganti untuk diisi.

Pada masa tu, sekolah boleh mencari penganti guru yang cuti bersalin terlebih dahulu dan kemudian dimaklumkan kepada PPD untuk lantikan. Mudah, kan?

Maka nak dijadikan cerita, adalah rezeki buat aku. Menggantikan seorang cikgu Bahasa Inggeris yang sedang cuti bersalin selama dua bulan, maka bermulalah perjalanan aku dalam dunia pendidikan.

Tamat sahaja kontrak selama dua bulan disana, aku sekali lagi diberi peluang untuk mendidik. Kali ini, sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Bahasa Inggeris di SMK Seri Pekan. Waktu yang sama, diberi tanggungjawab sebagai guru kelas tingkatan satu.

Haaaaa dan disitulah aku kenal dengan antara pengetua yang paling 'cool' iaitu Cikgu Hamid, mantan Timbalan Pengarah JPN Pahang, yang mana pada masa itu Cikgu Dzulkifri (Timbalan Pengarah JPN Pahang kini) adalah GPK Pentadbiran beliau. Hehehe.. awal-awal lagi aku dah belajar dari orang-orang hebat, kan?

Beradalah aku di sana sehingga akhir tahun 2001.

Seterusnya, pada tahun 2002, setelah berjaya menduduki peperiksaan UKELP di SMK Abdul Rahman Talib dan lulus temuduga di JPN Pahang, bermulalah pula episod aku sebagai pelatih pra perkhidmatan di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris yang mana ia adalah dibawah Kursus Diploma Perguruan Malaysia.

Sepanjang tiga tahun di sana (2002-2004), pelbagai bidang dan cabang ilmu aku sempat belajar. Antaranya, teknik 'green screen', dari mantan Pegawai Perpustakaan. Ilmu penerbitan dari pensyarah-pensyarah Unit Teknologi Pendidikan, diperkenalkan dan dibekalkan dengan Apple iBook G4 oleh pensyarah-pensyarah Unit Teknologi Maklumat dan ilmu mengurus majlis dan menyediakan kertas kerja dari pensyarah-pensyarah Jabatan PJK.

Tahun 2003 pula, aku selaku Exco Penerbitan & ICT Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan sidang redaksi diberi satu tangunggjawab besar dan oleh itu berhempas pulas menyiapkan majalah maktab, iaitu SINARAMA yang buat pertama kalinya diterbitkan semula setelah 12 tahun terkubur, dek kerana berkat doa dan sokongan dari banyak pihak, alhamdulillah kami berjaya!

Berkat kejayaan tersebut membawa aku kepada pelantikan sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar pertama dimaktab itu yang datang dari opsyen Pengajian Bahasa Inggeris, dan ini bermakna sekali lagi sejarah tercipta! Hehehehe ramai juga yang tak puas hati

Tahun 2005 pula, setelah tamat pengajian, aku ditempatkan di SK Nong Chik, Johor Bahru. Dibawah pentadbiran tiga Guru Besar, pelbagai ilmu mengurus sumber manusia, pentadbiran dan kewangan yang telah aku tuntut dari mereka.

Dalam tahun 2009, keinginan nak sambung belajar ke peringkat ijazah meluap-luap! Walaupun pada masa tu saingan adalah tersangat sengit! Tapi, sekali lagi aku tebalkan muka dan merayu ke Unit Latihan, JPN dan juga kepada pengurus program latihan di IPGM. Rezeki Allah nak bagi, rayuan aku diluluskan! Alhamdulillah, pengajian ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris berjaya aku tamatkan pada pertengahan tahun 2013.

Sehinggalah pada suatu hari pada tahun 2013, tak lama setelah naik gred ke DG32. Aku diminta oleh Guru Besar untuk mengisi borang GPK. Mula-mula, berat juga nak isi. Tapi setelah diyakinkan bahawa inilah masanya untuk aku berhijrah, maka terhantarlah juga borang permohonan tu ke PPD.

16.11.2013 tak lama selepas melalui proses temuduga, aku pun menerima surat lantikan dan diminta melapor diri sebagai PK Kokurikulum di SK Taman Perling 3. Tapi jodoh kami tak lama, sebaik pulang dari Korea (Program Pertukaran Belia Malaysia - Korea) aku sekali lagi diarah berpindah pada 16.12.2013 dan melapor diri ke SK Sungai Danga dengan memegang portfolio yang sama.

Tak sempat berkenalan dengan warga sekolah, aku sekali lagi mendapat surat arahan bagi menghadiri NPQEL Ambilan 1/2014 dan diarah melapor diri di IAB Genting pada 8.12.2013! Nak menolak, tapi tak boleh disebabkan ia adalah arahah pihak atasan.. Maka akurlah aku.

Di SK Sungai Danga juga jodoh aku tak panjang, sebaik terima surat lantikan ke DG42, aku dipanggil pula untuk temuduga sebagai PGB pada penghujung tahun 2015. Seperti yang dijangka, aku dilantik buat pertama kalinya sebagai Guru Besar di SK Jaya Mulia, Pontian pada tanggal 16.12.2015 pada usia 33 tahun 🙂

Kira mudalah juga, tapi usia tidak menjadikan alasan untuk aku buat kerja sambil lewa. Amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Oleh kerana itu jugalah, aku dipindahkan sekali lagi. Cukup setahun di SK Jaya Mulia, aku mendapat arahan pertukaran untuk berkhidmat di SK Pekan Nenas, Pontian pada 16.12.2016 yang lalu. Yang mana pada minggu lepas, genaplah setahun aku disini.

Berbaki 26 tahun lagi dalam perkhidmatan, kan aku cuba sehabis baik untuk memacu pendidikan negara kearah kecemerlangan dan kegemilangan. Demi anak-anak kau, demi anak-anak aku, dan demi tanah kita berpijak ini.

InsyaAllah. Doakan yang terbaik buat kami warga pendidik.

Bersama Skuad Pagi Best FM,  yang bertindak sebagai Jawatankuasa Sambutan 'Jom ke Sekolah'. Sekolah pilih tema Hero Dekat di Hati Murid; tampilkan Shahrol Shiro Raja Lawak jadi Pengawal Keselamatan, ada Pekerja Pembersihan dan semestinya para guru.

Sumber: Firdauz Abdullah