PUTRAJAYA - Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) telah dipilih sebagai ujian untuk guru opsyen Bahasa Inggeris bagi mengenal pasti tahap penguasaan mereka sejak tahun 2017, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, MUET juga telah digunakan untuk guru opsyen Bahasa Inggeris yang masih belum mencapai tahap penguasaan C1 di bawah Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

"MUET dipilih kerana ia ujian yang dibina menggunakan kepakaran tempatan, telah dinilai berlandaskan CEFR, dilaksanakan tiga kali setahun di seluruh Malaysia, dan lebih murah berbanding ujian lain," katanya.

KPM juga membenarkan guru menduduki ujian selain MUET yang telah dijajarkan kepada CEFR seperti Aptis dan International English Language Testing System (IELTS), menurutnya.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) baru-baru ini membantah arahan KPM supaya seramai 20,634 guru opsyen Bahasa Inggeris yang belum mengambil sebarang ujian profesiensi dikehendaki menduduki MUET dengan pembiayaan sendiri bagi mengetahui tahap penguasaan bahasa itu menjelang Disember hadapan.

Menurut NUTP, KPM dan pihak berkepentingan sektor pendidikan perlu membuat kajian untuk mengetahui punca yang mempengaruhi tahap penguasaan murid yang lemah dalam subjek itu berbanding memberi arahan supaya guru opsyen Bahasa Inggeris menduduki MUET.

KPM menjelaskan pelan hala tuju pendidikan Bahasa Inggeris, English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap (2015-2025) telah digubal, sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah mengenal pasti keperluan bagi membantu guru dan murid menguasai bahasa Inggeris.

Bagi memenuhi keperluan guru dan murid menguasai Bahasa Inggeris, katanya kerangka piawaian antarabangsa CEFR digunakan sebagai penanda aras dengan tahap penguasaan yang ditetapkan bagi guru opsyen Bahasa Inggeris adalah pada tahap minimum CEFR C1.

Bagi membantu guru opsyen Bahasa Inggeris mencapai tahap penguasaan CEFR C1, KPM melaksanakan pelbagai latihan bersemuka, latihan dalam talian, latihan berbentuk komuniti pembelajaran guru (PLC), kepada guru opsyen Bahasa Inggeris, kata kementerian itu.

Menurut KPM, program khusus Professional Up-skilling of English Language Teachers (Pro-ELT) turut dilaksanakan dan sehingga kini, 67 peratus daripada guru yang telah menduduki ujian tahap penguasaan bahasa Inggeris berada pada tahap CEFR C1 dan C2.

KPM berkata ia sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru Bahasa Inggeris dengan memastikan hanya yang cemerlang dilantik.

"KPM tidak berkompromi dengan syarat kelayakan calon guru opsyen Bahasa Inggeris bagi memastikan kualiti bahasa Inggeris murid di sekolah mencapai tahap yang ditetapkan supaya dapat melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam pasaran global," katanya.

KPM juga terus mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah kekurangan guru opsyen Bahasa Inggeris termasuk penawaran lantikan baharu kepada guru subjek itu yang telah bersara awal, penempatan semula dan mempercepatkan pelantikan guru daripada bekalan pasaran terbuka seperti guru interim/kontrak opsyen Bahasa Inggeris.

"KPM dalam usaha untuk menempatkan 500 guru interim di sekolah rendah dan menengah. Mereka perlu menghadiri Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP) untuk disahkan dalam jawatan sebagai guru opsyen Bahasa Inggeris selepas tiga tahun," katanya.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

'Kita tidak minta guru bukan opsyen untuk ambil MUET' - Dr. Habibah

Kenyataan sebenar mengenai keperluan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris ambil MUET

Kekurangan guru Bahasa Inggeris isu utama, bukan MUET

Guru Bahasa Inggeris perlu duduki MUET untuk kenal pasti tahap penguasaan

 

ARTIKEL LAIN:

Mangsa maut dipercayai anak seorang guru yang berkhidmat di SK Parit Mahang

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan

Tulisan Dr Isahak mengenai sistem pendidikan negara dan UEC - Satu pandangan yang membuka mata