PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat penampilan pertamanya bagi program umum hari ini setelah bergelar Perdana Menteri dengan melakukan lawatan mengejut ke Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini bagi meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (spm) 2019 di sekolah berkenaan.

Ketibaan beliau disambut dengan sorakan para pelajar yang nyata tidak menjangkakan kehadiran Perdana Menteri ke sekolah mereka.   

Sejurus tiba, Muhyiddin diiringi ke pentas dewan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Pengetua SAS Salleh Ismail dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SAS Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dan menyampaikan sijil kepada sembilan pelajar cemerlang yang mencatatkan keputusan semua A+ (10A+ dan 9A+) dalam spm 2019.

"Ini program umum yang pertama dan khususnya di peringkat Kementerian Pendidikan yang saya hadir sebagai Perdana Menteri. Saya amat berbangga kerana hadir di sini di sebuah sekolah yang mencipta banyak kecemerlangan," kata Muhyiddin.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas.

"Saya tak jangka saya diminta untuk berucap kerana saya cuma nak datang secara mengejut, nak melihat bagaimana ibu bapa dan anak di sini mendapat keputusan spm," katanya lagi.

Muhyiddin memberitahu hadirin bahawa beliau pernah berkunjung ke sekolah berkenaan.

"Oleh sebab itu pada hari ini, sekali lagi saya berada di sini untuk bersama guru dan ibu bapa (serta) pelajar untuk merasakan detik rasa seronok kerana sekolah ini telah pun diisytiharkan top di Wilayah Persekutuan dalam keputusan spm," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dan barisan guru yang berdedikasi serta ibu bapa yang komited untuk melihat kejayaan anak.

Muhyiddin berkata, kerajaan komited menjadikan sistem pendidikan negara menjadi lebih baik yang boleh melahirkan pelajar yang dapat menguasai bidang pendidikan khususnya dalam bidang sains dan teknologi serta penguasaan yang baik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

"Selaku perdana menteri yang baharu, saya komited untuk melihat sistem pendidikan negara kita melahirkan para pelajar yang hebat, pelajar yang akan mencipta kejayaan yang luar biasa, bukan saja cemerlang tapi lebih cemerlang dari cemerlang," katanya.

Selepas menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang, Muhyiddin mengambil kesempatan bertemu dan beramah mesra dengan para ibu bapa serta guru di SAS.

Selain sembilan pelajar yang mendapat keputasan semua A+, seramai 64 orang daripada 157 pelajar SAS mencatatkan keputusan semua A dalam spm 2019.

SAS menduduki tempat ketiga terbaik spm 2019 dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh dalam negara, serta di kedudukan pertama dalam kalangan sekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Gred Purata Nasional 1.17. - Bernama

Artikel Berkaitan:

SPM 2019: Pencapaian lebih baik, GPN 4.86

GPN SPM 2019 lebih baik berbanding 2018

Keputusan SPM 5 Mac 2020, pelajar boleh peroleh keputusan SPM dengan 2 kaedah ini

Diperkenalkan SPM 2014, KBAT uji keupayaan calon

48 subjek meningkat, 27 catat penurunan dalam SPM 2019