MURID digalakkan untuk membawa makanan sendiri ke sekolah bagi mengekalkan penjarakan sosial susulan pembukaan semula sekolah bermula 15 Julai lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kantin sekolah tetap beroperasi sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita galakkan murid membawa makanan sendiri ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, makanan di kantin perlu dibungkus sebelum dijual kepada murid.

“Ada pelbagai pendekatan berbeza diambil oleh sekolah bagi memastikan penjarakan sosial seperti preorder makanan dan akan dihantar kepada murid di bilik darjah dan sebagainya.

“Pengoperasian kantin, mesti ada penjarakan sosial dan makanan perlu dibungkus,” katanya.

Ditanya mengenai penggiliran guru sekiranya sekolah memilih Model Dua Sesi, beliau berkata, ia akan ditentukan pihak sekolah agar tidak timbul isu bebanan kerja apabila sekolah dibuka kelak.

“Waktu kerja fleksibel boleh dilaksanakan. Guru masih boleh mengajar untuk sesi pagi dan petang tanpa menambah waktu kerja,” katanya.

Dr Mohd Radzi menjelaskan, beliau yakin dengan kebijaksanaan pengurusan sekolah untuk menentukan penggiliran.

“Kita percaya sistem penggiliran dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien,” katanya.

Artikel menarik lain:

Masih pening nak sediakan menu sihat untuk murid? Panduan ini mungkin yang dicari guru dan ibu bapa

30 idea menu bekal anak ke sekolah, mudah dan anak pasti suka

Jom bawa bekal ke sekolah, KPM pesan kekalkan penjarakan sosial