KOTA BHARU - Bukan hanya untuk dijadikan salah satu cara untuk ketahanan diri, tapi sukan taekwando mendidik seseorang menjadi berdisiplin dalam melakukan  sesuatu perkara.

Ketua Jurulatih Persatuan Taekwando Negeri Kelantan  (MTA), Zakaria Ismail atau lebih dikenali sebagai Master Zakaria berkata, MTA kini mempunyai keahlian lebih dari 900 orang, bermula umur lima tahun sehinggalah dewasa.

“Latihan yang kita berikan kepada kanak-kanak  tidak sama dengan latihan untuk orang dewasa. Saya  jumpa banyak kes, ibu bapa mengadu anak mereka terlalu ‘manja’ sehingga tidak mampu berdikari sendiri dan sebagainya.

“Ia akan memberi kesan  kepada anak itu sendiri, maka dengan apa yang kita ajar  melalui sukan tekwando ini sedikit sebanyak membantu mereka untuk berpijak  atas kaki sendiri.

“Ada pelajar yang  beritahu saya, sejak belajar taekwando, dia tidak takut lagi untuk berdepan apa-apa situasi sendirian. Keberanian itu yang kita cari,” katanya
kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, dengan  mengenakan yuran yang berpatutan, MTA di antara badan yang dipilih sekolah-sekolah di seluruh Kelantan bagi mendidik ilmu sukan  taekwando tersebut.

Beliau berkata, MTA juga dibarisi 15 tenaga pengajar  yang mempunyai kemahiran profesional dalam sukan itu  dan sentiasa menjadi rujukan individu perseorangan bagi mendapatkan ilmu mengenai sukan itu.

“Untuk mereka yang berminat menyertai kita,  anda boleh mendaftar  dengan MTA di luar sekolah dengan menghubungi saya atau Master Fikri Ayat Khan iaitu Setiausaha MTA dia talian 011-10685010,” katanya.