Berpeluang membuat pembentangan mengenai Kempen Kesedaran Siber di pentas antarabangsa merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Guru pembimbing dan mentor pasukan SK Taman Bersatu, Noor Halini Allias berkata, pasukan sekolah itu terpilih perhimpunan Global Children Summit, Rome, Itali setelah mendapat tempat kesepuluh utama pada Pertandingan Design for Change Malaysia anjuran Design for Change Malaysia (DFC) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pasukan SK Taman Bersatu bersemangat membentangkan isu ‘Stay Safe Online’ perhimpunan Global Children Summit, Rome, Itali.

Lima murid yang membawa nama negara ke pentas dunia terdiri daripada empat murid Tahun Lima dan seorang Tahun Empat, mereka ialah Nur Izzatul Uzma Mohd Nasrizal (11); Nurul Iman Irdina Azizi (11);  Muhammad Faiz Danish Mohd Fadzli (11) Muhammad Haiman Izz Mohd Norhisham (11) dan Jeehan Nur Zawanah Mohamad Bukharee (10).

Cikgu Noor Halini berkata, dalam pertandingan DFC yang berlangsung 23 Mei tahun lepas, mereka membawa Kempen Kesedaran Siber dan terpilih dalam senarai 40 terbaik.

"Saya nampak murid-murid lebih yakin dan berani. Kesemua aktiviti yang dijalankan divideokan sebelum dihantar kepada penganjur. Masa tu, memang tak terfikirpun untuk menang. Tapi apabila dah disenaraikan dalam 40 terbaik seluruh Malaysia, memang terkejutlah.

Guru dan pelajar dari 10 buah sekolah yang mewakili negara di Itali.

“Design for Change menekankan aspek 'Feel', 'Imagine', 'Do' and 'Share'. Pasukan sekolah kami mengenalpasti apakah cabaran dalam media sosial, peranan murid, ibu bapa dan masyarakat,” jelas guru bahasa Inggeris ini kepada GPS Bestari.

Kata beliau, pertandingan itu bertujuan meningkatkan kepekaan dalam kalangan murid mengenai sesuatu isu yang mana murid perlu mengenal pasti isu, cabaran dan bagaimana cara mengatasi.

Setelah tersenarai sebagai 40 terbaik mereka diminta untuk mengembangkan lagi projek sehingga melayakkan pasukan SK Taman Bersatu terpilih dalam 10 terbaik pada saringan kedua.

Cikgu Noor Halini (tengah) bersama lima murid SK Taman Bersatu mengibarkan bendera sekolah di hadapan Muzium Capitoline, Itali.

Sebagai nilai tambah dalam kempen yang dianjurkan, pasukan SK Taman Bersatu menemubual anggota polis dari Unit Jenayah Komersial PDRM untuk mendapatkan maklumat.

Terangnya lanjut, selain turun padang, mengedar risalah kepada orang ramai, lima murid ini turut menyampaikan ceramah dan bimbingan kepada rakan di sekolah lain bagaimana untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak.

“Disebabkan pertandingan ini tiada kategori sekolah rendah atau menengah. Sekolah yang masuk semuanya hebat-hebat belaka, antaranya sekolah menengah sains dan sekolah berprestasi tinggi.

Cikgu Noor Halini (tiga dari kanan) bersama murid SK Taman Bersatu di KLIA sebelum berlepas ke Itali.

"Kemenangan kami membuktikan sekolah luar bandar yang 70 peratus daripadanya murid B40 juga setanding dengan murid sekolah berprestasi tinggi,” katanya.

Penat lelah berbaloi

Dengan usaha gigih dan azam untuk mengharumkan nama sekolah akhirnya pasukan SK Taman Bersatu berjaya tersenarai dalam 10 pasukan terbaik yang melayakkan mereka membuat pembentangan di Rome, Itali pada 23 November lalu.

“Alhamdulillah segala usaha, penat lelah murid ini berbaloi. Walau pelbagai cabaran ditempuhi, kami akhirnya berjaya jejakkan kaki di Rome. Lebih membanggakan, kami berjaya kibar bendera sekolah dan Jalur Gemilang di sana.

"Perhimpunan Global Children Summit di Itali yang dihadiri lebih 2,000 pelajar dan guru seluruh dunia, ini memberi pendedahan yang sangat bermakna kepada pelajar," katanya.

Pasukan SK Taman Bersatu bersama rakan dari negara lain yang turut serta dalam perhimpunan Global Children Summit, Rome, Itali.

Kata beliau, kepekaan terhadap isu keselamatan siber yang dibentangkan pasukan SK Taman Bersatu menerusi tajuk ‘Stay Safe Online’ turut mendapat liputan DFC Global.

"Pembentangan kali ini bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna internet mengenai ancaman keselamatan siber, selain memupuk sikap positif dan beretika ketika menggunakan internet," katanya.

Sebanyak 60 negara terpilih membentangkan projek masing-masing di perhimpunan Global Children Summit, Rome, Itali, antaranya Romania, Portugal, Philippine, Denmark, Brazil, India, Japan, Kenya, Dubai, Chili dan banyak lagi.

Pasukan yang layak ke perhimpunan Global Children Summit, di Itali dipilih berdasarkan pencapaian dan impak terbesar setiap projek dan pihak penganjur menaja tiket pergi dan balik setiap sekolah terpilih.

 

Pencapaian Cikgu Noor Halini

1. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah     

2. Guru pembimbing Pertandingan 'Action Song' di Pahang dan Perak - Johan Zon tiga tahun berturut-turut                                    

3. Guru pembimbing Pertandingan Cabaran Keselamatan Nasional(CAKNA) - Naib Johan Kebangsaan 2018

4. Pelajar Top 3 terbaik Program NIIT ITEC India dalam Ancient Neutralization, IT & Networking Skills

Tip Penting:

'Hafal pecahan popular ini' - Pesanan penting cikgu Matematik untuk calon UPSR

Teknik Cabang bantu murid lemah, sederhana dan cemerlang bina karangan panjang, seragam

Guru Cemerlang Tahfiz kongsi kaedah DTHT untuk hafaz al-Quran dengan mudah

Teknik Putaran Waktu bantu murid memahami kepentingan ‘masa’ - Ustaz Quszaini