Kerajaan Negeri Sarawak akan memberi insentif kepada dua murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Temong yang berjaya menggondol anugerah ‘Best Film By Popular Jury’ di Festival de Cinema Escola de Alvorada (Fecea) atau Festival Filem Sekolah-Sekolah Antarabangsa Alvorada baru-baru ini, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Manyin berkata pemberian insentif itu adalah sebagai ganjaran atas pencapaian cemerlang mereka dan beliau akan bertemu kedua-dua murid secara peribadi untuk mengucapkan tahniah serta menambah jumlah insentif tersebut.

"Anugerah yang dimenangi kedua-dua murid di peringkat antarabangsa sememangnya amat membanggakan kita," katanya selepas merasmikan penyempurnaan kerja menaik taraf Gereja St Paul di Kampung Tema Saan di sini hari ini.

Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa meraih anugerah itu bagi filem animasi pendek mereka dalam kategori sekolah rendah menerusi karya bertajuk ‘Batu Bijanjii’ yang bermaksud batu perjanjian dalam dialek Bidayuh Bisadung.

Manyin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu, berkata SK Temong adalah antara sekolah rendah terbesar di kawasan itu dan mempunyai kira-kira 200 murid.

Beliau berkata dua tahun lepas, sekolah itu turut memenangi anugerah di peringkat negeri dalam satu pertandingan anjuran kementeriannya.

"Mereka (SK Temong) telah melakukan usaha yang amat baik dan mencapai kejayaan yang begitu cemerlang,” katanya.

Manyin berkata terdapat juga rancangan untuk menaik taraf bangunan sekolah itu dengan menambah sebuah lagi blok.

Mengulas kerja menaik taraf Gereja St Paul yang berusia 50 tahun, beliau berkata ia dilakukan dalam empat fasa yang bermula tahun lepas dan siap baru-baru ini dengan kos lebih RM200,000.- BERNAMA