TEMERLOH - Keluarga kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab dalam insiden terbabit.

Ibu saudara mangsa, Salbiah Mohamed, 35 berkata, tindakan  berkenaan akan dibuat bergantung kepada laporan perubatan bedah siasat ke atas mangsa yang dijangka siap bulan depan.

“Sebelum ini doktor ada menyatakan ia kemungkinan keracunan makanan tetapi kami  mahukan kepastian dan akan mengambil tindakan selepas laporan perubatan  siap.

“Kami tidak mahu terburu-buru kerana pihak perubatan telah mengambil semua  sampel yang perlu bagi mengadakan ujian untuk mengenal pasti punca kejadian,”   katanya.

Salbiah berkata, mereka sekeluarga amat merasai kehilangan Nursyasya yang  juga seorang kanak-kanak ceria. 

Katanya, selepas kira-kira seminggu kehilangan kanak-kanak itu, mereka masih lagi terus berduka dan tidak dapat melupakan keletah mangsa yang begitu
rapat dengannya.

“Sebenarnya dia memang rapat dengan kami dan banyak menghabiskan masa dengan  kami membuatkan kehilangannya amat dirasai.

“Pada masa ini ibunya juga tinggal di rumah kami kerana  tidak sanggup untuk pulang ke  rumah kerana mengenangkan anaknya itu,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Nursyasya Shauqina Roply, 10 meninggal  dunia di sisi ibunya, Juhazalina Mohamed, 39, yang turut mengalami sakit perut dan cirit-birit akibat keracunan makanan selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di sebuah dewan di sini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Sha’ari Ngadiman berkata, Jabatan  Kesihatan negeri sentiasa bersedia melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap kali majlis jamuan diadakan.

Berita lain:

Bagi mereka yang masih kurang jelas mengenai 1BestariNet - Ini penjelasan Ketua Setiausaha KPM

Lumpuh separuh badan, bekas pelajar SMK Sungai Abong cemerlang SPM ini nekad sambung di UTHM

'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK