SHAH ALAM - Seorang murid tahun satu maut selepas dilanggar van sekolah dalam kejadian di Jalan Rotan Semut 18/28, Seksyen 18 di sini pada jam 6.45 petang, kelmarin.

Mangsa dikatakan berada di bahagian belakang van terbabit untuk membuka  kasut sekolahnya sebelum dilanggar  dengan jarak kira-kira tiga meter dari rumahnya.

Mangsa, Ahmad Damian Iqbaal Abdullah mengalami kecederaan parah di  kepala dan dikejarkan ke Hospital Shah Alam bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK)  Seksyen 18 itu turun dari van sekolah jenis Ford terbabit.

“Mangsa dipercayai berada di belakang bahagian kiri van terbabit dan pemandu yang berusia 66 tahun itu terus memandu  van tanpa menyedari kedudukan mangsa ketika itu.

“Pemandu hanya menyedari sesuatu selepas terasa seperti terlanggar sesuatu dan terus memberhentikan kenderaannya dan memeriksa bawah van terbabit sebelum menemui mangsa,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat samada wujud sebarang kecuaian  berhubung kejadian terbabit dan pemandu terbabit ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Pemandu terbabit ditahan selama tiga hari bermula hari ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program di Sekolah Menengah Seksyen 18, semalam.