NILAI - Sesi perhimpunan pagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka Nilai di sini gempar apabila seramai 20 pelajar perempuan diserang histeria tiba-tiba.
Dalam kejadian kirakira jam 7.30 pagi itu, seorang pelajar yang berada di dalam tandas dikatakan menjerit tiba-tiba sebelum ditemui pengsan.
Suasana kemudian bertukar kecoh apabila pelajar lain pula yang menjerit sehingga sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) terpaksa dihentikan.
Sementara itu seorang pelajar tingkatan tiga yang enggan dikenali berkata, kejadian histeria di sekolah itu berlaku sejak Jumaat lalu.
“Kali pertama berlaku tidaklah seramai hari ini (semalam). Saya pun tidak tahu apa puncanya, tapi dengarnya ada pelajar nampak lembaga.
“Cikgu ada panggil pengamal perubatan untuk tenangkan keadaan. Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak pasti,” katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya dimaklumkan sejurus kejadian itu dengan pihak sekolah telah mengambil tindakan mengasingkan pelajar yang terlibat di surau.
“Pelajar lain dikumpulkan di dewan sekolah untuk bacaan Yasin. Seorang ustaz turut dipanggil bagi membantu memulihkan keadaan pelajar terlibat.
“Pihak sekolah telah hubungi ibu bapa untuk bawa anak mereka yang terkena histeria pulang, begitu juga dengan ibu bapa pelajar lain,” katanya.
Menurutnya, keadaan kembali tenang jam 11.39 pagi dan proses P&P berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, pelajar sesi petang tingkatan satu dan dua pula turut diarah mengadakan bacaan Yasin dan solat zohor secara berjemaah sebelum sesi pembelajaran bermula.
“Jabatan, pejabat pendidikan daerah dan sekolah akan memantau kes ini dari semasa ke semasa agar kejadian tidak berulang lagi,” katanya.
Artikel Menarik:
Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti
Silibus Tabika Kemas terbaik... dapat pengiktirafan Reader’s Digest Trusted Brands
Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi