SEREMBAN - Seramai 240 graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan menerima Diploma atau Ijazah mereka menerusi janji temu yang bermula hari ini sehingga 17 Disember, bertempat di Dewan Biduanda, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.

Kordinator Unit Komunikasi Korporat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Mumtaz Ahmad berkata, majlis penganugerahan secara norma baharu ini adalah bagi menggantikan Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19.

Katanya, graduan yang terlibat adalah terdiri daripada penuntut UiTM yang telah menamatkan pengajian mereka di kampus UiTM seluruh negara dan merupakan pemastautin di Negeri Sembilan.

"Seramai 240 orang graduan yang terdiri daripada 124 graduan diploma, 109 graduan ijazah sarjana muda dan tujuh graduan sarjana diraikan dalam majlis ini.

"Proses pelaksanaan majlis ini adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan akan dipantau oleh seluruh tenaga kerja UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang terlibat sepanjang majlis ini berlangsung.

"Antara tindakan pengawalan awal yang diambil oleh UiTM untuk memastikan mengawal penularan wabak adalah dengan mewajibkan graduan dan ibu bapa (atau ahli keluarga/waris) mengisi Borang Deklarasi Saringan Risiko Covid-19 UiTM secara dalam talian setiap hari selama tiga hari berturut-turut sehingga tarikh janji temu.

"Graduan dan ibu bapa (atau ahli keluarga/waris) yang berada dalam kategori D atau E (kategori risiko rendah) sahaja dibenarkan masuk ke kampus. Keputusan deklarasi perlu ditunjukkan kepada Polis Bantuan di pintu masuk kampus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, graduan dan ibu bapa yang datang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Person Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) dan yang mempunyai gejala seperti demam, selsema dan batuk tidak dibenarkan hadir.

Mumtaz berkata, UiTM turut menyediakan kaunter saringan di pintu masuk dewan. Setiap staf/graduan/ibubapa hendaklah mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter dan sentiasa memakai pelitup muka.

Katanya, sebaik sahaja majlis tersebut berlangsung, pihak UiTM akan melakukan pembersihan dan nyah kuman ruang dan kawasan sekitarnya sebelum dan selepas setiap sesi penganugerahan.