PORT DICKSON - Seramai 40 pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan komputer riba menerusi Program Majlis Penyerahan Komputer Riba Kepada Pelajar Asnaf dari Kolej Uniti Port Dickson (KUPD), di sini, baru-baru ini.

Majlis penyerahan komputer riba yang membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM80,000 itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Uniti Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa.

Sumbangan komputer riba tersebut dijayakan melalui kutipan wang zakat TH Travel & Services Sdn Bhd.

Seorang daripada pelajar menerima sumbangan komputer riba yang disampaikan Zulkifli.

Zulkifli berkata, sumbangan sedemikian sudah dilakukan di beberapa negeri seperti Johor, Pahang, Perak dan akan diteruskan di negeri lain.

"Memandangkan kita masih lagi dalam tempoh pandemik, penyerahan hari ini dilaksanakan dengan mengikut pematuhan operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan virus Covid-19," katanya.

Sementara itu, Ahmad Ruzman berkata, sumbangan itu adalah satu usaha TH Travel untuk melaksanakan aktiviti kelestarian korporat bagi membantu meningkatkan kualiti hidup terutama kepada para pelajar asnaf yang terpilih.

"Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban dan memudahkan urusan pelajar dalam sesi pembelajaran dalam norma baharu seterusnya memajukan diri demi agama, bangsa dan negara.

"Ini adalah satu tanda keprihatinan bahawa golongan yang tidak berkemampuan sentiasa diberi perhatian oleh banyak pihak termasuklah TH Travel ," katanya.

Artikel menarik

5 perkara yang perlu pelajar fikirkan sebelum buat pilihan pengajian. Ikuti pandangan guru ini

Keberanian pelajar Tingkatan Dua bantu operasi SAR, dapat pengiktirafan polis