SEREMBAN - Seramai 8,167 murid Tahun 1 memulakan sesi persekolahan tahun ini melibatkan 350 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan  (SJK) di seluruh Negeri Sembilan, kata Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Katanya, jumlah tersebut dijangka meningkat susulan terdapat murid mendaftar lewat.

“Secara amnya , kita ada seramai 166,739 murid dan pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6 Atas memulakan sesi pembelajaran tahun ini membabitkan 475 buah sekolah di seluruh Negeri Sembilan tahun ini.

“Setakat ini pula terdapat beberapa buah sekolah yang dalam pembinaan dan  dijangka dibuka tahun hadapan, termasuk pembinaan sekolah kebangsaan di Forest Height yang sudah 70 peratus siap bagi menggantikan sekolah kurang murid iaitu SJKC Ladang Ulu Kanchong di Rantau yang hanya mempunyai empat murid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai melawat SK Taman Dusun Nyior, bersempena hari pertama  persekolahan, semalam.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohamad Rafie berkata, kerajaan negeri ada menyediakan bantuan bas sekolah menerusi belanjawan 2019.

“Usaha itu antara tujuan lain meringankan beban perbelanjaan yang ditanggung  oleh ibu bapa berpendapatan rendah,” katanya.

Katanya, bantuan berjumlah RM50 itu  membabitkan 1,500 murid dan pelajar dari keluarga terbabit.