SEBANYAK 89 sekolah berkonsepkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) diwujudkan, dengan dilengkapi capaian internet yang baik, bilik khas dan makmal  komputer bagi melaksanakan pengajaran serta pembelajaran secara maya.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr  Mohamad Rafie Ab Malek berkata, selain itu, sekolah berasrama  penuh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil turut mempunyai kemudahan PAK-21 yang lebih lengkap iaitu Smart Tv, Smart Box serta Ipad.

“Di Negeri Sembilan, kita ada 475 sekolah dan PAK-21 memang banyak tertumpu di Seremban iaitu sebanyak 28 sekolah di sekitar  Seremban.

“Selain itu, di Kuala Pilah 16 sekolah, Jempol (12) dan Jelebu  (12), Port Dickson (22), Tampin (6) dan Rembau (5),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab  soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Serting).

Mohamad Rafie berkata, konsep sekolah PAK-21 akan diperluaskan ke sekolah-sekolah luar bandar dengan menaik taraf capaian jalur lebar yang menjadi  permasalahan utama untuk melaksanakannya di sekolah luar bandar.

“Permasalahan asas dalam pelaksanaan sekolah bercirikan  abad ke-21 ini adalah masalah infrastruktur berkaitan jalur lebar.

“Selagi perkara ini tidak diselesaikan  memang sukar untuk sekolah luar bandar dinaik taraf kepada sekolah abad ke-21, jadi sekarang ini kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya.