SEREMBAN - KETIADAAN bantuan kewangan daripada pihak luar menyukarkan pihak sekolah membeli mesin pengimbas haba automatik.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul di sini, A Santhanasmy berkata, sehubungan itu adalah penting untuk alumni sekolah mengumpul dana membantu memberi sumbangan untuk membeli alat itu yang kini menjadi satu keperluan.

Katanya, penggu­naan alat canggih itu dapat mempercepatkan kerja-kerja penyaringan dan pengambilan suhu badan berbanding penggunaan alat pengimbas suhu digital biasa.

“SK St Paul bernasib baik kerana bekas pelajar sangat membantu. Ada bekas pelajar kami yang syarikatnya bersedia membeli mesin itu dan kami berharap dapat disediakan sebelum sesi persekola­han sepenuhnya dibuka.

“Jika semua alumni sekolah mengamalkan sikap sedemikian, ia bukan sahaja meringankan beban sekolah tetapi juga kerajaan,” katanya di sini semalam.

Katanya, alat itu penting disediakan di setiap sekolah buat masa ini dan dijangka mengambil tempoh yang panjang.

“Kita nak kurangkan kesesakan di depan sekolah pada waktu pagi. Kalau sesi persekolahan dibuka sepenuhnya nanti akan ramai perlu beratur panjang untuk pemeriksaan suhu. Bagi saya ia tidak lagi praktikal.

“Saya setuju alumni sekolah, ibu bapa dan pihak swasta bekerjasama menyumbang alat pengimbas haba automatik tanpa mengharapkan bantuan kerajaan sahaja,” katanya.