KUALA PILAH – Tak sampai sebulan sesi persekolahan baharu dibuka, pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani (SGS) sudah diwajibkan menyertai kem jati diri dengan aktiviti yang sungguh di luar jangka.

Terpaksa bergelumang dengan selut, merentasi hutan dan sungai, walaupun ada yang terkejut tetapi tidak seorang pun yang merungut, malah mereka kelihatan seronok dan lebih akrab satu sama lain.

Inilah hasil Kem Jati Diri Pelajar Tingkatan 5 yang dianjurkan Unit Bimbingan dan Kaunseling SGS dengan kerjasama PIBG sekolah itu.

Guru Cemerlang merangkap Penyelaras tingkatan 5, Mohd Saleh Ibrahim berkata, kem itu bertujuan membentuk semangat berpasukan dalam kalangan pelajar walaupun mereka terdiri daripada pelbagai perbezaan latar belakang dan budaya.

 

 Mohd Saleh

 

“Kami mahu SGS dapat melahirkan pelajar yang mempunyai ciri kepimpinan yang unggul.

“Kita juga nak mantapkan personaliti pelajar supaya menjadi insan yang berkepimpinan, berketrampilan, berdaya saing dan peka dalam semangat setiakawan," katanya.

Menurut beliau, pihak sekolah mengadakan kem jati diri ini pada awal tahun supaya dapat menjadikan pelajar SGS cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademi tetapi juga pembentukan sahsiah yang cemerlang.

Kem Jati Diri Pelajar Tingkatan 5 berlangsung pada 11 hingga 13 Januari di Kem Jati Diri Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Juaseh, Kuala Pilah.

 

Peserta sedang melakukan aktiviti kawad kaki.

 

Seramai 105 pelajar tingkatan 5 menyertai kem tersebut dengan 9 guru terlibat dalam memastikan pelajar sihat dan selamat sepanjang kem berlangsung.

Selain itu, 9 jurulatih Kem Jati Diri (KEMRI) Juaseh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) turut bertindak sebagai fasilitator.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah latihan kawad kaki, kuliah maghrib, aktiviti kembara (merentas sawah padi, sungai dan hutan), reka cipta dan slot muhasabah diri.

Kem yang dirasmikan Ketua Sektor Pengurusan Kemanusiaan JPNS, Muzir Ab Manan itu turut menjemput Pakar Motivasi, Fitness dan Mental Trainer yang juga motivator terkenal Azli Abdullah untuk mengendalikan ceramah.

 

 

Sementara itu, Muzir dalam ucapannya bangga dengan pencapaian SGS berjaya menempatkan nama sebagai sekolah cemerlang di Negeri Sembilan.

“Walaupun baru empat tahun beroperasi, tetapi SGS telah berjaya mendapat tempat kedua di Negeri Sembilan pada peperiksaan SPM 2015.

“Selain itu, di bidang kokurikulum pula, SGS berjaya melahirkan pelajar yang mewakili Negeri Sembilan dalam beberapa acara seperti boling, hoki, kadet polis, pasukan kadet remaja sekolah, pasukan pengakap dan pasukan bola jaring," katanya.

Pengetua SGS, Maimunah Ismail yang turut hadir pada program penutup mengharapkan semua peserta dapat memanafaatkan ilmu yang dipelajari di kem itu bagi memantapkan semangat berpasukan agar matlamat menjadikan SGS sebagai sekolah unggul di negara ini tercapai.

 

APA KATA PESERTA

“Melalui kem ini, saya berharap kita dapat membentuk satu kerjasama yang erat bagi menjulang nama SGS pada peperiksaan SPM 2019 nanti. Kejayaan sesuatu pasukan itu bergantung kepada setiap individu dalam kalangan pasukan yang setiap orang ada fungsinya sendiri."

- Puteri Farra Sageena Badrul Hisyam, Tingkatan 5 Aishah, Ketua Batch Pelajar Tingkatan 5

 

Puteri Farra Sageena

 

“Kem ini banyak mengajar saya untuk hidup berdikari tanpa keluarga di sisi. Malah pengalaman bermain lumpur dalam sawah semestinya satu kenangan yang pasti sukar dilupakan kelak."

- Tengku Qashrina Adriana Tengku Shaiful Bahri, Tingkatan 5 Khadijah

 

Tengku Qashrina Adriana

 

“Saya tidak pernah rasa pengalaman mandi kolah. Malah berpeluang menyelami kehidupan pelajar lain yang berasal daripada keluarga susah seperti ketiadaan kemudahan asas yang sempurna tapi masih boleh cemerlang dalam pelajaran membuatkan saya kagum dengan mereka."

- Wan Zetty Soraya Safrul Rudzuan, Tingkatan 5 Zinnirah

 

Wan Zetty Soraya

 

Peserta bersorak girang selepas berakhirnya Kem Jati Diri Pelajar Tingkatan 5.

 

Pelajar ini menunjukkan cara memasang khemah.

 

Maimunah menyampaikan cenderamata kepada Muzir.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 'Nak naik kereta mana' - cikgu ini sembunyi perasaan terkejut bila tengok kereta bekas pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Guna plastik ikan sebagai beg sekolah..bila koyak, ayah ganti dengan plastik ikan yang baru

ARTIKEL BERKAITAN: Rupa-rupanya ini sebab arwah mak hantar anaknya ke tadika Cina