BAHAU - Sebuah bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang St. Helier di sini, akan dibina dalam masa terdekat selepas pembinaannya tertangguh sejak 2013.

Adun Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, pihaknya telah berusaha mendapatkan peruntukan untuk pembinaan itu sejak tahun 2013.

“Bangunan tambahan dua tingkat ini yang mempunyai enam bilik darjah dan sebuah bilik komputer dibina dengan kos RM1.45 juta, melalui peruntukan Kementerian Pendidikan.

“Pembinaannya dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini. Permohonan awal untuk sekolah ini dibuat bekas Adun Jeram Padang, Datuk VS Mogan dan telah diluluskan RM800,000 pada tahun 2012.

“Memandangkan peruntukan itu tak mencukupi, maka saya telah berusaha untuk mendapatkan bajet tambahan,” katanya ditemui selepas selesai majlis pecah tanah di tapak pembinaan bangunan tambahan sekolah itu, baru-baru ini.

Manickam berkata, kementerian telah meluluskan peruntukan tambahan RM650,000 dan bangunan setingkat diubah kepada dua tingkat.

“Saya berharap sekolah ini yang kini mempunyai seramai 230 pelajar akan terus mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik.

“Projek ini juga tidak akan berjaya tanpa kerjasama Pengurusan Sime Darby Plantations yang menyediakan tapak di ladang miliknya di Ladang St. Helier dekat sini,” katanya.