SEREMBAN - Kejadian diejek oleh rakan berketurunan Melayu dengan menggunakan huruf jawi membuatkan pesara guru ini bertekad untuk mempelajari tulisan tersebut.

Lim Chin Chai, 66, atau lebih mesra dikenali Cikgu Lim merupakan salah seorang individu yang mahir menulis dan membaca tulisan jawi dengan baik sejak dia berusia 10 tahun.

Menceritakan pengalaman awal bekas Guru Besar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tanah Merah Site A, Port Dickson ini mempelajari tulisan itu, Cikgu Lim memberitahu, dia mempelajarinya daripada seorang pak cik dikenali sebagai Pak Cik Mat yang ketika itu merupakan seorang peniaga kedai runcit di Senaling, Kuala Pilah sekitar tahun 1963.

Mengimbau kenangan tersebut, Cikgu Lim berkata, setiap hari ada beberapa kanak-kanak menjerit kepadanya dengan menyebut beberapa perkataan Arab yang dia sendiri tidak faham, namun setiap hari juga dia akan mengingati perkataan tersebut.

Dia kemudian bertanya maksud tersebut kepada Pak Cik Mat dan akhirnya mengetahui ertinya yang sememangnya kurang enak didengar.

Kemahiran menulis jawi sejak usia 10 tahun selepas tekun belajar dengan Pak Mat.

Sejak itu, dia tekad mempelajari tulisan jawi bagi membolehkan dirinya menguasai tulisan lain selain bahasa Inggeris.

“Setiap hari, saya akan membaca surat khabar Utusan Melayu yang diterbitkan dalam tulisan jawi. Setiap hari saya akan minta Pak Cik Mat terangkan bagaimana mahu menyebut perkataan tersebut, sehingga akhirnya saya mampu membaca sendiri.

“Saya tidak pernah mengikuti kelas khas belajar tulisan jawi. Saya sendiri belajar dan melihat tulisan tersebut berdasarkan surat khabar dan kadangkala jiran membantu.

“Ada juga beberapa kanak-kanak sebaya datang ke rumah, cuba menguji bacaan dan tulisan saya, walaupun pada ketika itu saya kurang mahir tetapi mereka bangga kerana saya boleh membaca serta menulis dengan baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Seremban baru-baru ini.

Menceritakan suasana waktu itu, kemesraan antara kaum lain sangat akrab, malah mereka boleh duduk bermain sama-sama di rumah tetapi kini berbeza apabila masing-masing melakukan hal sendiri sehinggakan ada yang tidak bertegur sapa dengan jiran sebelah rumah.

“Semasa di kampung, saya ada ramai kawan Melayu. Saya selalu pergi ke kedai kopi di kampung, bukan minum kopi tetapi saya suka dengar ada seorang pak cik bernama Pak Cik Majid membaca surat khabar jawi dengan nada yang kuat.

“Selepas dia baca, saya akan datang kepadanya dan bertanya macam-macam soalan mengenai tulisan jawi ini sehinggalah saya mampu membuat rumusan sendiri mengenai tulisan tersebut untuk memudahkan saya mengingatinya.

“Seronok kalau kita tahu baca jawi. Tidak susah pun belajarnya. Kalau kita betul-betul minat, kita akan rasa sangat senang,

“Bagi saya, tulisan jawi ini paling senang untuk belajar berbanding tulisan lain,” katanya.

Cikgu Lim menunjukkan nama dan perkataan yang ditulis dalam tulisan jawi.

Tulisan jawi di SJK

Ketika ditanya mengenai hasrat kerajaan untuk memperkenalkan tulisan khat di SJK Cina dan Tamil, beliau berpendapat, hasrat tersebut boleh dipertimbangkan.

Kata Cikgu Lim, sebaiknya kerajaan bermula dengan pelajar Tingkatan Empat kerana pelajar di peringkat umur tersebut sudah mampu berfikir dengan baik serta menguasai bahasa dengan sempurna berbanding murid di sekolah rendah.

Bagaimanapun, beliau turut menyarankan kepada kementerian agar menyediakan bahan pembelajaran secukupnya termasuk buku khas penterjemahan bahasa Melayu kepada tulisan jawi bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelajar.

Cikgu Lim ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Seremban baru-baru ini.

“Ada beberapa tulisan jawi yang tidak sama ejaannya. Ia sering berlaku di papan tanda menyebabkan saya sendiri keliru yang mana satu betul dan mana yang salah.

“Bagi saya, belajar tulisan jawi itu tidak salah, jika cara pembelajarannya dilaksanakan dengan tepat serta memenuhi kehendak setempat sesuai dengan penerimaan semasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

Maszlee jawab 10 soalan mengenai isu tulisan jawi dan seni khat yang akan diperkenalkan di sekolah

Jemaah Menteri kekalkan pengenalan tulisan jawi di SJK namun KPM hanya laksana jika PIBG setuju

Baca ni baru komen: FAQ isu tulisan jawi di SJK Cina dan Tamil

'Jangan ada pusingan U, teruskan perkara baik ini' - Kisah menarik Datuk Jalil dan jawi