TAMPIN - Bangunan baharu dibina bertujuan menggantikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Regent di Gemencheh, di sini, perlu dibaiki semula sebelum digunakan warga sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, pembaikan itu perlu dilakukan kerana terdapat sebahagian siling dan penutup lubang kumbahan yang sudah rosak.

“Bangunan ini ialah SJKT Ladang Regent dibina menggantikan sekolah yang beroperasi di dalam kawasan ladang namun ia belum dapat Sijil Layak Menduduki (CF).

“Kerosakan perlu dibaiki sebelum sekolah berkenaan mula beroperasi di bangunan baru itu dan kerosakan tersebut kemungkinan berlaku disebabkan barang digunakan tidak berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau yang juga Adun Repah berkata, kerosakan itu diketahui selepas menerima aduan daripada ibu bapa pelajar yang bimbang keselamatan anak mereka yang akan berada di bangunan baharu sekolah tersebut.

“Saya sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat pemeriksaan segera ke atas bangunan yang masih dalam pembinaan itu,” katanya.

Pada Disember 2014, akhbar ini melaporkan anak masyarakat India di Gemencheh bakal menikmati kemudahan SJKT yang baru menjelang Ogos 2016, apabila kemudahan berkenaan siap dibina dengan peruntukan sebanyak RM8.5 juta.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden MIC Kebangsaan, Datuk Seri Dr S Subramanian sempena Majlis Peletakan Batu Asas Sekolah Baru SJKT Ladang Regent di tapak sekolah baharu berkenaan, 5 Disember 2014.

Bagaimanapun, sehingga kini bangunan tersebut masih belum dapat digunakan dan dimanfaatkan terutama masyarakat India setempat.

Pembinaan sekolah baharu itu dibina berikutan sekolah sedia ada terletak di dalam ladang berkenaan yang turut diduduki kira-kira 10 keluarga sahaja memandangkan kebanyakannya penduduk sudah keluar dari kawasan ladang berkenaan dan berpindah ke pekan berhampiran.

Bangunan baharu sekolah yang dibina di atas tanah seluas 1.2 hektar itu adalah projek di bawah peruntukan Pakej Rangsangan Khas (PRK) pada 2012.