NILAI– Meskipun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) sanggup menempuh perjalanan dari Terengganu ke negeri ini semata-mata tidak mahu ketinggalan berkongsi detik indah bersama anak saudaranya yang mengambil keputusan SPM, semalam.

Kepayaan Che Wan Zawawi Wan Sulaiman, 39, itu dianggap berbaloi apabila anak saudaranya, Alyaa Syahirah A.Murad, 18, antara 62 pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC) yang memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran diambil.

Menurutnya, sejak awal lagi dia sudah jangka Alyaa Syahirah akan mendapat keputusan cemerlang selepas melihat kesungguhannya yang sentiasa fokus dalam pelajaran.

“Saya hanya ada dua orang anak saudara dan dia adalah anak saudara pertama. Sejak dari sekolah rendah lagi, dia menunjukkan prestasi membanggakan dalam pelajaran.

“Sudah tentu saya tak mahu ketinggalan untuk beri sokongan kepadanya dan Alhamdulillah dia diumumkan sebagai salah seorang pelajar cemerlang dan ia satu kebanggaan buat kami,” katanya yang datang bersama ibu dan ayah Alyaa Syahirah, serta dua lagi adik beradiknya.

Sementara itu Alyaa Syahirah berkata, kejayaan itu adalah hasil usahanya yang belajar secara konsisten dan sentiasa memberi fokus di dalam kelas.

“Saya kurang belajar di bilik, tapi beri tumpuan sepenuhnya di dalam kelas selain mengulang kaji bersama rakan-rakan.

“Saya pun tak sangka boleh dapat semua A, sebab peperiksaan percubaan lalu hanya dapat 7A dan soalan pula susah,” katanya.

Malah, Alyaa Syahirah yang juga anak sulung dari dua beradik dan merupakan anak pemandu lori berhasrat menyambung pengajian dalam bidang sains fizikal di Universiti Malaya (UM), sekali gus mengubah nasib keluarganya.

Katanya, belajar di sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah elit tidak membuatkan dia berada rendah diri.