LUARAN nampak pemalu namun siapa sangka Muhammad Hanif Faisal Mohd Yuzamry, 17, menduduki ranking nombor satu Negeri Sembilan dalam sukan Muay Thai dan muncul juara dengan mendapat dua emas dalam Kejohanan Wilayah dan Terbuka Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mula berjinak dalam sukan tersebut pada Disember 2017 dan didedahkan dalam pertandingan sejak kecil membuatkan dia berpeluang menambah pengalaman dan meningkatkan kemahiran dalam sukan ini.

Menurut Muhammad Hanif Faisal yang mesra dipanggil Hanif, penglibatannya dalam sukan lasak tersebut didorong keluarga, diri sendiri dan rakan kelab.

Malahan adiknya, Muhammad Airil Ashraf, 10, turut terlibat dalam bidang sama.

Seperti remaja lain, Hanif tiada masalah bersosial dengan rakan sebaya, bersekolah dan beriadah namun apabila tiba masa berlatih dia akan meletakkan sepenuh perhatian dalam Muay Thai.

"Selalunya, saya hanya mengikuti latihan jika balik bermalam di rumah sahaja memandangkan saya tinggal di asrama.

"Selain latihan, saya juga kena jaga pengambilan makanan, tidur dan rehat yang cukup," jelasnya.

Kata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hj Abdul Samad itu lagi, jika ada kejohanan, pihak kelab dan ibu bapanya akan turut serta mengiringi dia dan adiknya.

"Setiap kali ada pertandingan, ibu bapa akan berhubung dengan pihak sekolah untuk meminta kebenaran daripada pengetua, setelah mendapat keizinan barulah kami akan menyertai pertandingan tersebut.

"Saya dan adik dalam kelab yang sama, Muay Singa Muda dan aktif menyertai semua kejohanan yang ada.. saya harap dapat ke peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Datuk Hj Abdul Samad, Ahmad Jais Ahmad berkata, beliau sangat bangga memiliki pelajar yang hebat seperti Hanif.

"Pihak sekolah akan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada Haniff dalam bidang yang sangat diminatinya ini.

"Semoga dia terus cemerlang dalam apa sahaja bidang yang diceburi kelak," katanya.

Ahmad Jais

 

Guru Cemerlang Reka Cipta, Ahmad Azwari Annuar pula berkata, Hanif pelajar yang baik dan sangat menghormati guru.

"Walaupun hebat di arena Muay Thai namun dia masih lagi boleh menguruskan tugasan lain dengan baik.

"Cikgu doakan semoga Hanif terus sukses dalam pelajaran dan teruskan kecemerlangan dan kehebatan dalam arena Muay Thai," katanya.

Selain itu, Muhammad Airil Ashraf merupakan murid Tahun Empat Sekolah Rendah King George V mendapat pingat emas di Kejohanan Sekolah-sekolah dan Remaja peringkat Kebangsaan 2019 Kategori 22 KG baru-baru ini. 

+++

Info

Nama: Muhammad Hanif Faisal Mohd Yuzamry

Tarikh lahir: 10 Disember 2002

Tempat lahir: Seremban, Negeri Sembilan

Adik beradik: Anak pertama dari tiga beradik

Tarikh menyertai Muay Thai: Disember 2017 sehingga sekarang

First fight: April 2018 Peringkat Kebangsaan

Kelab: Muay Singa Muda Negeri Sembilan

+++

 

Hanif ketika latihan.

Hanif bersama keluarga.

Hanif (depan) bersama rakan dan Cikgu Ahmad Azwari (berdiri, tengah).

Hanif (kiri) bersama rakan dan jurulatih ketika Kejohanan Muaythai Amatur sempena Hari Wilayah Persekutuan 2019 Februari lalu.

Muhammad Airil Ashraf ketika mendapat pingat emas di Kejohanan Muay Thai antara Sekolah-sekolah dan Remaja peringkat kebangsaan 2019.

Artikel lain:

Pembelajaran di luar bilik darjah mempunyai manafaat besar

KPM kaji pelaksanaan semula PPSMI - Ini penjelasan Dr. Mahathir di Dewan Rakyat

Kejohanan Taekwondo Peringkat Sekolah Daerah Kulim - Bandar Baharu