SEREMBAN – Captain America dan Deadpool dipilih sebagai ‘penyambut tetamu’ di Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul di sini bagi menggembirakan murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan di sekolah itu semalam.

Dua adiwira itu bukan sahaja menarik perhatian 700 murid, malah ibu bapa yang mengiringi  anak-anak dilihat turut terhibur.

Guru Besar SK St Paul, A Santhanasmy berkata, idea menyediakan penyambut tetamu daripada watak filem kegemaran ramai itu bermula sejak tahun 2016 selepas perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurus Sekolah.

“Tahun pertama kita bawa badut sambut murid dan idea itu berhasil untuk mewujudkan suasana ceria serta menghilangkan gemuruh murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama persekolahan.

“Jadi setiap tahun kita nak tampilkan sesuatu yang lebih menarik dan kehadiran watak adiwira  filem lebih mengujakan 105 murid Tahun Satu ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Selain itu katanya, semua murid Tahun Satu juga dipakaikan dengan lencana ditulis ‘Saya seorang yang hebat’ sebagai tanda mereka murid terpilih yang  memasuki sekolah berkenaan.

“Guru lebih mudah menguruskan  proses pengajaran dan pembelajaran apabila tiada murid yang menangis atau meragam.

“Ibu bapa juga tidak risau meninggalkan anak mereka di sekolah,” katanya sambil mengakui memperuntukkan kira-kira  RM1,000 untuk menyewa dua kostum berkenaan termasuk menyediakan lencana itu.

Beliau berpendapat, pihak sekolah perlu kreatif menarik  minat murid untuk ke sekolah  dan idea seperti itu yang kini menjadi trend perlu diteruskan selagi memberi kesan positif.

Artikel Menarik:

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu di Malaysia

Surat terbuka guru buat ibu bapa yang bakal hantar anak ke tadika

Walaupun mengajar bahasa Melayu tetapi inovasi Matematik cikgu ini buat murid cepat pandai

'Ni tandas sekolah ke tandas hotel?' - Patutlah terpilih ke peringkat kebangsaan, tahniah SMKA Miri