BUKIT PELANDOK - Pasukan Star Jumper Girl yang dianggotai murid perempuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Sawah, di sini, muncul juara dalam Pertandingan Lompat Tali Peringkat Kebangsaan dan berjaya membawa pulang wang sejumlah RM1,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.

Pertandingan itu diadakan bersempena program Health Promotion in Learning Institution (HePLI) di bawah program Doktor Muda yang dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Guru pembimbing, Nor Azila Ismail berkata, latihan untuk pertandingan lompat tali peringkat kebangsaan ini telah bermula dari tahun lepas lagi.

“Pasukan ini mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Pengerusi Lompat Tali Negeri Sembilan, Nor Azlee Syam Hamdan selain dibantu jurulatih lompat tali, Mohd Azuan Anuar yang juga bapa kepada salah seorang peserta mengambil bahagian.

“Peserta yang menganggotai pasukan Star Jumper Girl adalah dalam kalangan murid yang berumur 10 dan 11 tahun," katanya.

Menurutnya, seramai enam pemain dan seorang pemain simpanan menyertai pertandingan tersebut.

Nor Azila yang juga guru Pendidikan Jasmani berkata, Star Jumper Girl mula memasuki pertandingan tahun lepas dan tahun ini adalah tahun kedua SK Kg Sawah terlibat dalam acara lompat tali.

Katanya, seluruh warga SK Kg Sawah meraikan kejayaan tersebut dan berbangga kerana kesemua peserta yang terlibat adalah perempuan sedangkan pasukan dari negeri lain mempertaruhkan gabungan lelaki dan wanita.

Sementara itu, Guru Besar SK Kg Sawah, Radziah Bakar mengucapkan sekalung tahniah kepada pasukan lompat tali kerana berjaya menjadi kebanggaan sekolah.

“Mereka adalah harapan sekolah dan bermula tahun hadapan, acara lompat tali akan dijadikan kebitaraan sekolah dalam bidang sukan.

“Tahun depan juga, latihan secara inklusif dalam acara ini akan diberikan bermula murid tahun 1 lagi,” katanya.

Berikut merupakan keputusan pertandingan bagi kategori Lompat Tali Sekolah Rendah:

Johan - Negeri Sembilan

Kedua- Kuala Lumpur

Ketiga- Kedah

Keempat- Perlis

Kelima- Sarawak

 Sijil yang diterima salah seorang ahli Star Jumper Girl hasil kemenangan Pertandingan Lompat Tali Peringkat Kebangsaan.

Nor Azila (tengah) bersama pasukan Star Jumper Girl bersama replika cek yang diterima setelah dinobat johan.

Pertandingan Lompat Tali Kebangsaan ini menampilkan 16 kumpulan yang melibatkan johan di setiap negeri masing-masing termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Bersama individu yang bekerja kuat untuk kecemerlangan Pasukan Star Jumper Girl.

Pasukan Star Jumper Girl ketika meraikan di sekolah.

Kerajaan Negeri Sembilan turut memberi pengiktirafan kepada sekolah yang berjaya mengharumkan nama negeri.