SEREMBAN - Saranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah (SM) Sains Perempuan di sini, mengambil inisiatif mengadakan Coffee Break SPM bermula semalam hingga 6 Disember depan.
Yang Dipetua PIBGnya, Shaharudin Budin berkata, program ini merupakan edisi ketiga sejak 2016 untuk SPM dan PT3.
“Usaha ini diyakini dapat mengurangkan tekanan pelajar semasa peperiksaan SPM di mana ibu bapa yang datang sebagai sukarelawan dapat memberi semangat dan dorongan kepada anak-anak. Ada dalam kalangan pelajar di musim peperiksaan ini, tidak mengambil sarapan pagi mungkin disebabkan adanya perasaan takut ataupun tekanan.
“Dengan Coffee Break inilah waktu untuk mereka menjamah makanan dan menjaga kesihatan dengan tanpa membiarkan perut kosong,” katanya ketika ditemui pada program itu, semalam.
Agihan makanan ketika Coffee Break di SM Sains Perempuan Seremban.
Katanya, dalam masa sama menjimatkan masa pelajar untuk tidak ke kantin pada waktu rehat dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan.
“Kelancaran program ini adalah hasil sumbangan tunai daripada ibu bapa, penjaga tanpa menggunakan dana PIBG.
“Proses mencari dana ini telah dimulakan sejak Ogos lal, selain melantik AJK Kecil Ibu Bapa termasuklah sukarelawan yang terdiri daripada ibu bapa,” katanya.
Sementara itu, menu makanan yang disediakan adalah ringan dan tidak mengantuk seperti roti, kuih muih dan buah- buahan diedarkan setiap jam 10.15 pagi.