SERAMAI 27 murid prasekolah berusia lima dan enam tahun mengikuti Perkhemahan Murid Prasekolah (Prawawasan) di Padang Dataran Prasekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangai, Kuala Pilah, baru-baru ini.

Penyelaras program, Cikgu Yusmizul Idzhan Yusoff berkata, program anjuran prasekolah (Prawawasan) itu bertujuan memberi pengalaman baharu kepada murid prasekolah merasai suasana perkhemahan yang sebenar seperti murid di aliran perdana.

"Ia juga bertujuan memupuk semangat berani dan membina keyakinan diri serta mengeratkan silaturahim semua pihak yang terlibat," ujarnya.

Selain murid prasekolah, turut mengikuti perkhemahan tersebut ialah dua guru, 27 waris murid dan 250 penduduk kampung yang berhampiran.

Yusmizul Idzhan yang juga guru prasekolah SK Pelangai berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk peserta.

"Antaranya, permainan muzikal chair bersama maskot panda, senamrobik, sukaneka dan penyampaian hadiah," ujarnya.

Sementara itu, Yusmizul Idzhan berkata, penyertaan peserta perkhemahan kali ini, sememangnya sangat mencabar.

"Mengendalikan peserta yang berusia lima dan enam tahun ini memang banyak cabarannya.

"Setiap langkah dan aktiviti perlu diberi tunjuk ajar satu persatu. Ada peserta yang boleh buat dan ada yang tidak. Namun begitu, semua peserta kelihatan seronok dan mereka berharap akan diadakan perkhemahan sebegini lagi pada masa akan datang," katanya.

Guru Besar, Kamarazaman Jaafar berkata, program itu adalah satu penganjuran yang sangat bagus untuk murid prasekolah.

"Saya yakin ia memberi satu pengalaman baru, menarik dan luar biasa kepada mereka walaupun ia bukanlah satu program yang mudah untuk dikendalikan. Syabas kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat," katanya.

Aksi si cilik yang gembira dapat menyertai Perkhemahan Murid Prasekolah SK Pelangai.

Artikel Menarik:

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat...Allahuakbar

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar