SEREMBAN - Guru pelatih perlu dilatih supaya mereka mudah beradaptasi dengan perubahan sekeliling dari segi teknologi dan memahami bagaimana sesuatu perkara itu berfungsi.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pemahaman yang mendalam membolehkan mereka untuk mengajar dan   menyampaikan maklumat kepada audien sasar mereka disekolah dengan lebih tepat dan berkeyakinan tinggi.

"Generasi yang bakal dilahirkan dari institusi pendidikan akan berdepan dengan situasi yang mencabar dalam pelbagai bidang kerjaya yang menunggu mereka di dunia luar.

"Sudah pastilah, apa-apa sahaja bentuk ilmu, sama ada yang berbentuk akademik, nilai-nilai insaniah, ilmu   teknologi, inovasi atau apa sahaja yang dipelajari akan membantu mereka ketika memasuki gerbang kerjaya," katanya pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Kerjaya dan Inovasi Revolusi Industri 4.0 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Pengarah IPG Kampus Raja Melewar Dr Nizam Abd Latib.

Katanya persiapan menghadapi dunia nyata yang penuh dengan cabaran dapat memastikan bahawa mereka tidak akan ketinggalan atau mengalami siri tekanan dalam persaingan di peringkat lokal mahu pun global.

Katanya kemahiran sebeginilah yang perlu dikuasai dengan bersungguh-sungguh oleh para guru pelatih dari institusi pendidikan guru.

"Saya yakin para pendidik khususnya para pensyarah institut pendidikan guru sentiasa dekat dengan perubahan yang berlaku," katanya.

Aminuddin berkata dalam mendepani dan merealisasikan kehendak Revolusi Industri 4.0, dunia pendidikan sebagai satu  tapak utama kepada sebarang perubahan perlu bersedia untuk mengubah proses pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kehendak industri pada masa hadapan.

Namun, katanya pengajaran dan pembelajaran ini tidak semestinya bergantung secara mutlak terhadap guna pakai   teknologi semata-mata, bahkan juga lebih berfokus kepada kreativiti dan inovasi dalam penyampaian maklumat oleh para pensyarah dan guru.

Karnival dua hari itu merupakan kolaboratif antara IPG Kampus Raja Melewar dengan beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun berkepentingan pendidikan seperti Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan serta juga pihak swasta dan lain-lain.

Kerjasama ini sangat diperlukan demi memastikan kelangsungan hayat pendidikan dalam mendepani kehendak semasa khususnya yang berteraskan kepada inovasi dan penyelidikan.- Bernama

Baca:

Pesanan khas untuk ibu bapa menjelang peperiksaan UPSR

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR

Link soalan percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

Nota poket Matematik Cikgu Shahril bantu murid skor A UPSR