REMBAU - Guru perlu berlaku adil kepada semua pelajar dan tidak mengabaikan pelajar lemah akademik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, KPM tidak mahu lagi mengukur kecemerlangan melalui petunjuk prestasi utama (KPI) atau gred purata sekolah (GPS).

"Tumpuan perlu diberi kepada Pembangunan sahsiah dan penguasaan tahap minimum pelajar.

"Latih tubi tidak lagi boleh menjurus kepada peperiksaan sahaja dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Guru harus bangunkan proses berfikir pelajar dalam mendapatkan sesuatu jawapan atau penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Seminar Amalan Terbaik dan Inovasi (SATI 2019) peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Majlis Guru Cemerlang Negeri Sembilan (MGCNS).

Turut hadir Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Dr. Amin berkata, adalah menjadi tanggungjawab moral guru untuk mengubah landskap dalam pendidikan ke arah pembagunan holistik dan sahsiah pelajar serta tidak menumpu kepada peperiksaan semata-mata.

SATI 2019 yang diadakan Institut Latihan Perindustrian Pedas pada 17 Julai lalu mendapat penyertaan 230 warga pendidik dari lapan negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Terdapat 13 pembentang dan 23 pemamer pada persidangan itu dengan 230 peserta terdiri daripada pegawai perkhidmatan pendidikan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pegawai bahagian Kementerian Pendidikan (KPM), pensyarah institut perguruan dan matrikulasi.

Persidangan itu bertujuan memberi peluang kepada warga pendidik membentangkan hasil penyelidikan dan amalan terbaik PdPc termasuk kajian tindakan serta penyelidikan yang berkualiti untuk dikongsi.

Tip menarik:

Nota padat topik Abakus...Calon UPSR boleh buat ulang kaji ringkas cara Cikgu Mohd Fadli

Siap sedia sebelum UPSR 2019 bermula - Ini yang mak ayah perlu lakukan di saat-saat akhir

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau